YANG MASIH PANAS...

IKHTILAT ( Pergaulan ) Di Tempat Kerja...Jom Baca Semoga Kita Terselamat...

permasalahan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita (ikhtilat) di kalangan remaja belia menjadi tumpuan. Molek benar rasanya sekiranya ruangan kolum ini mengambil laluan untuk mengupas perihal pergaulan silang jantina yang berlaku di pejabat atau tempat bekerja hari ini. Hubungan dan interaksi yang berlaku di tempat bekerja seringkali melibatkan kelompok dewasa lelaki dan wanita yang datang dari pelbagai usia ( dari semuda belia hinggalah ke usia emas), berlainan pangkat (dari staf bawahan hinggalah kepada CEO) dan juga berbeza status perkahwinan ( bujang, berkahwin, janda, duda bercerai hidup atau mati).

Bagi majoriti kelompok yang menjawat pekerjaan di luar rumah, sebahagian besar kehidupan mereka sebenarnya dilalui di tempat kerja, terasing dari pasangan hidup dan ahli keluarga masing-masing. Seharian suntuk, masa dihabiskan di tempat kerja bersama teman-teman sepejabat – berkongsi suka duka, jatuh dan bangun. Kemesraan yang terjalin sekian lama kadangkala lebih terasa eratnya dari hubungan dengan ahli keluarga sendiri. Penulis pernah berseloroh dengan suami, mengatakan bahawa setiap hari kami berdua lebih banyak bersama dan berurusan dengan para suami dan isteri orang lain, jika dibandingkan dengan masa yang dihabiskan bersama pasangan hidup masing-masing!

Sekiranya tidak dipelihara keharmonian suasana dan akhlak keperibadian setiap individu yang terlibat di bawah satu bumbung tempat bekerja, amat mudah berlakunya penyelewangan, perlanggaran serta kegelinciran yang membabitkan hubungan dan interaksi antara individu silang jantina, lelaki dan wanita. Hubungan sesama teman sekerja yang tidak mengenal batas akan berkesudahan dengan penyakit sosial yang menjalar dan merosakkan institusi kekeluargaan secara halus dan senyap, ibarat anai-anai yang perlahan-lahan merosakkan asas sesebuah bangunan.

Menurut suatu laporan akhbar pada tahun 2004, Unit Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat ketika itu menganggarkan sebanyak tiga perempat (75%) dari perceraian yang berlaku dalam masyarakat adalah berpunca dari kehadiran orang ketiga, sementara 80% dari orang ketiga tersebut adalah rakan sekerja. Penulis juga yakin, ramai pembaca yang mempunyai kenalan atau rakan taulan yang terbabit dengan cinta tiga segi ini ( ataupun mungkin mengalami pengalaman peribadi sendiri). Entah berapa banyak pertunangan yang tidak dapat diteruskan lantaran salah satu pihak tiba-tiba berubah hati dan `jatuh cinta’ dengan rakan sepejabat. Entah berapa ramai pasangan suami isteri yang mengambil keputusan bercerai selepas belasan malah puluhan tahun bersama demi untuk memenuhi hajat hidup dengan pasangan baru yang ditemui semasa tempoh pekerjaan. Entah berapa banyak rumahtangga yang bertukar status dari institusi perkahwinan monogami kepada poligami demi untuk menghalalkan `cinta kedua, ketiga dan keempat’ yang berputik semasa berlakunya interaksi atas nama urusan perniagaan dan kerjaya. Malahan entah berapa ramai juga yang kecundang dengan nafsu syahwat yang mendorong berlakunya zina dan maksiat lain , lantaran begitu mudahnya perkara tersebut dilakukan di tempat kerja.

Dalam dunia serba materialistik hari ini, pekerjaan dilihat sebagai satu keperluan asas yang menjana keupayaan ekonomi seseorang itu untuk menyambung kehidupan. Bagi seseorang yang terpaksa menanggung kehidupan orang lain, kebergantungan kepada sumber pendapatan yang diperolehi dari pekerjaan amatlah ketara. Hidup dalam suasana yang begitu kompetatif, keupayaan menjawat pekerjaan yang membuahkan hasil lumayan menjadi paspot untuk masa depan yang mewah dan penuh keselesaan. Sesungguhnya, setiap kita perlu diingatkan semula, apakah sebenarnya objektif dan matlamat kita menjawat sebarang jawatan yang diamanahkan kepada kita. Kejelasan mengenai keperluan dan objektif yang menuntut kita keluar bekerja akan memandu arah setiap langkah dan tingkah laku kita dalam bergaul bersama teman sekerja.

Sekalipun teman sekerja boleh dianggap sebagai rakan sepasukan yang erat hubungan, saling memahami dan percaya-mempercayai, masih terdapat di sana batas dan sempadan yang perlu diperhatikan dalam pergaulan kita seharian. Interaksi sesama rakan sekerja mestilah terus berlaku dalam suasana penuh adab, sopan dan disulami dengan etika profesionalisme yang tinggi. Rasa hormat-menghormati antara satu sama lain, mestilah merangkumi aspek keperibadian dan latar belakang kekeluargaan. Tidak harus berlakunya eksploitasi pegawai atasan terhadap staf bawahan, perbuatan sumbang antara bos lelaki dengan setiausaha wanitanya yang masih belum berumahtangga ataupun penganiayaan pekerja junior terhadap rakan sekerja yang sudah berumur dan kurang berdaya.

Hari ini, organisasi perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan terpaksa dipantau melalui akta dan peruntukan perundangan pihak berwajib yang bertujuan melindungi semua pekerja dari eksploitasi dan gangguan seksual. Tiada sesiapapun yang terkecuali dari pemantauan ini. Malangnya, setiap akta dan rang undang-undang perlukan penguatkuasaan yang teliti dan berkesan. Tanpanya, akta hanya tinggal akta. Tidak ada gunanya, kita terus menderaf dan meluluskan satu demi satu peraturan, sekiranya asas dalaman dan nilai yang dipegang di tahap individu tidak diperkasa dan ditingkatkan ke tahap yang paling mulia.

Setiap seorang pekerja hendaklah mempunyai keazaman untuk menonjolkan keperibadian yang terbaik dan akhlak terpilih semasa interaksinya dengan orang lain, khususnya dengan rakan sekerja yang sudah dianggap seperi adik beradik sendiri. Hubungan silang jantina tetap perlu dijalani dengan batasan syariah yang menjamin keharmonian hubungan dan penghormatan yang sewajarnya. Bagi individu yang sudah berumahtangga, hendaklah ia sentiasa menjaga nama baik diri, pasangannya dan ahli keluarga yang lain. Jika dia seorang suami, hendaklah dia berkelakuan sebagaimana seorang suami dan bukannya masih mengamalkan gaya hidup seorang teruna bujang trang-tang-tang. Sekiranya dia seorang isteri yang solehah, seharusnya sentiasa menyedari bahawa dia keluar bekerja dengan keizinan dan kepercayaan suaminya. Masing-masing perlu sentiasa menjaga nama baik dan maruah diri, pasangan dan keluarganya.

Elakkan interaksi dan hubungan yang boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka. Hari ini, ramai yang berani mempertahankan kesilapan yang dilakukan dengan berhujah mengenai hak asasi dan ruang peribadi. Dalam urusan seharian yang memerlukan kita berhubungan antara silang jantina di tempat kerja, pastikan interaksi tersebut dibina atas dasar hormat menghormati dan sopan santun. Jauhi suasana berdua-duaan dan bersunyi-sunyian, sekalipun atas nama projek dan `assignment’. Jangan ambil mudah sembang borak kosong di ruangan pantri semasa rehat 30 minit setiap hari, yang mungkin berkesudahan dengan sesi luahan perasaan dan perkongsian jiwa yang berlarutan memutikkan cinta dan buaian emosi. Elakkan urusan ke luar negara atau out-station yang berhari-hari lamanya, hanya dengan seorang dua rakan sekerja yang berlainan jantina.

Sekiranya, kita menjadi ketua sesebuah unit, bahagian atau jabatan, pastikan kita tidak mengambil kesempatan atas kedudukan dan pangkat yang ada. Tanggungjawab yang besar terpikul di bahu kita untuk memastikan interaksi anak-anak buah kita tidak terkeluar dari batasan syariah yang telah ditentukan Allah SWT. Setiap perlakuan staf di pejabat yang mula menampakkan kecenderungan berlakunya kegelinciran, haruslah ditangani segera dan diatasi melalui nasihat dan pesanan. Jika masih gagal memperbaiki keadaan, adakalanya amat perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dan berkesan.

Hidupkanlah budaya berpesan-pesan dengan kesabaran dan kebenaran di dalam ruangan pejabat tempat kita mencari rezeki setiap hari. Mantapkan ikatan kekeluargaan sesama ahli sepejabat berasaskan ukhuwwah Islamiah yang suci, menggantikan suasana sumbang dan selamba yang menjadi kegemaran Iblis dan gerombolan pasukan penggodanya, memainkan jarum khianat yang menyesatkan. Elakkan fitnah yang berpunca dari kelalaian menjaga batasan yang ditetapkan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan kesungguhan memenuhi aspirasi mulia tersebut, selamatlah kita semua dari kebejatan akhlak yang menghinakan. Semoga pekerjaan kita menjadi landasan amal ibadah yang berpanjangan, bukannya ruangan berlakunya perlanggaran dan maksiat yang terang mahupun yang tersembunyi.

Kalau masih tidak dapat menepis dan menangkis godaan yang begitu hebat menyerang, mungkin sudah tiba masanya, kita mencari ruangan baru yang lebih sejahtera untuk iman dan taqwa. Patah tumbuh hilang berganti. Mungkin ada baiknya berhijrah demi untuk mempertahankan iman, kemuliaan dan amanah. Percayalah, Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang jauh lebih baik – untuk dunia dan akhirat nanti, InsyaAllah

oleh :Dr Harlina Halizah Siraj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT

Sila gunakan browser firefox untuk melayari blog ini dengan sempurna. terima kasih


Assalamualaikum.. bismillahirahmanirahim.

" Segala bahan didalam blog ini di ambil, di olah dan ditulis dari pelbagai sumber. Kepada yang ingin mengambil apa2 jua bahan dalam blog ini dengan niat untuk mengembangsebarkan ilmu, tidak perlu meminta izin atau menyertakan link blog ini. Sebarkan dan panjangkanlah kepada semua demi kebaikkan ummah. Semoga info yang ada dapat memberi manfaat walaupun sedikit cuma, dan semoga dengan usaha sekecil ini pastinya tidak akan terlepas dari pandangan Allah.. insyaAllah.. Jika ada kesilapan dari setiap posting, tolong berikan nasihat dan komen. Maaf andai terlancar bahasa tersasar kata-kata. Saya hanya insan biasa yang tidak sunyi dari kesilapan. wallahualam."

PERHATIAN!!! BLOG INI TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PARTI , NGO DAN SEBAGAINYA. SEGALA TULISAN DI ISI MENGIKUT CITARASA HAMBA SENDIRI DAN HAMBA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS KESELAMATAN DAN KERUGIAN PEMBACA DISEBABKAN BLOG INI..... SEKIAN

PERHATIAN !!!!!!

Sebarang artikle yang termaktub di dalam blog ini tidak semestinya menunjukkan sikap pengendali blog ini. Ambillah yang berfaedah dan tinggalkanlah yang sia - sia........

MENGAPA AKU BERKATA SYIAH RAFIDAH KAFIR ?

Sesungguhnya Allah telah memilih sahabat-sahabat untuk ku, Dia menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabatku, mertua-mertuaku dan menantu-menantuku. Nanti akan muncul satu golongan selepas aku akan memburuk-buruk dan memaki hamun mereka.Sekiranya kamu menemui mereka, janganlah kamu mengahwini mereka, janganlah kamu makan dan minum bersama mereka, janganlah kamu berjemaah bersama mereka dan jangan kamu menyembahyangkan jenazah mereka. [Ali al-Muttaqi, Kanz al-‘Ummal, jil 11, m.s : 540 ]

Sabda Rasulullah S.A.W:

Sabda Rasulullah S.A.W:“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).



Al - Hadis

DARIPADA Abu Said katanya:
Aku mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda: siapa yang melihat (dan tahu) sebarang kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya dengan tangannya (kuasanya), kalau tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan lidahnya, dan kalau tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (HR Muslim).

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU

KUTIPAN DANA BAGI PEMBANGUNAN SRIBU
Hadis nabi saw : apabila matinya anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga... yaitu sadhoqah jariah , ilmu yang memberi manfaat dengannya , doa anak yang soleh.

WAKTU SOLAT


Membangun Bersama Islam

Kisah Sahabat

About Me

Blog Archive


Banner Tukar Link
SPEEDCOUNTER.NET - Kostenloser Counter!

"tegakkanlah islam dalam dirimu,nescaya kamu akan melihat islam tertegak di tanah airmu" - Imam As-Syahid Hassan Al-Banna (Pengasas&Mursyidul Am Pertama Ikhwanul Muslimin)

berwaspada dari fitnah moden

berwaspada dari fitnah moden

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Nik Aziz

Tok guru Haji saleh

Tok guru Haji saleh

Recent Comments

Footer 2

Photobucket

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Translate