(Oleh Masdar Wahid)
SHAH ALAM 14 MEI: Ibu tunggal yang menyaman Kerajaan Selangor digesa mendaftar dengan kerajaan negeri supaya dapat dipastikan kelayakan mereka mendapat pelbagai bantuan ditawarkan sekaligus tidak menjadi mangsa kepentingan politik pihak tertentu.
Gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail itu sebagai respon kepada keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam yang membatalkan saman Murtini Kasman beserta 2,020 yang lain terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar.
Malah isu ini juga dipolitikan Umno sebelum dan semasa berlangsungnya pilihan raya umum lalu bertujuan memburuk-burukan imej Pakatan Rakyat.
“Kerajaan Selangor sekali lagi menawar bantuan kepada ibu tunggal meliputi elaun, kursus kemahiran, skim mikrokredit, pembinaan jati diri, bantuan peralatan dan pembelajaran untuk pendidikan bagi membantu memberdaya ibu tunggal dan kualiti hidup golongan ini serta keluarga mereka,” kata Rodziah pada kenyataan.
Tambahnya, Kerajaan Selangor berhasrat, secara berfasa, ingin membantu rakyat untuk berdikari menerusi merealisasikan konsep welfare to workfare, atau kebajikan kepada berpendapatan, untuk sekalian rakyat yang memerlukan bantuan.
“Sebarang aduan rasmi boleh dimaklumkan ke pejabat saya untuk siasatan lanjut,” katanya menyifatkan pemberian wang secara berkala tidak menyelesaikan masalah kewangan golongan itu.
“Kerajaan negeri konsisten untuk membantu semua rakyat Selangor meningkatkan mutu kehidupan dan menjaga kebajikan mereka seperti diikrar dalam manifesto,” kata penyandang Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan