Gambar hiasan
Pada suatu senja yang lenggang,
terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaiannya yang serba hitam
menandakan bahawa dia berada dalam keadaan yang berdukacita. Tudungnya hampir
menutup seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menghiasi tubuhnya.
Kulit yang bersih, badan yang ramping dan rauk wajahnya yang ayu, tidak dapat
menghapuskan kesan kepedihan yang dialaminya. Dia melangkah terseret-seret
mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil
mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam “Silakan
masuk”.
Perempuan cantik itu lalu berjalan
masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai ketika mula berkata,
“Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni
dosa keji saya.”
“Apakah dosamu wahai wanita?” tanya
Nabi Musa a.s. terkejut.
“Saya takut mengatakannya.” jawab
wanita cantik itu. “Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun berkata, “Saya…
telah berzina."
Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya
tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya telah hamil.
Setelah anak itu lahir, terus saya cekik lehernya sampai mati,” ucap wanita itu
lalu menangis teresak-esak. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia
mengherdik, “Perempuan celaka, pergi kamu dari sini! Agar bala dari Allah tidak
jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil
memalingkan mata kerana jijik.
Perempuan berwajah ayu dengan hati
bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah keluar.
Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu harus kemana lagi hendak mengadu.
Dia tidak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi sudah
menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya
betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Dia tidak tahu bahawa
sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa.
Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau
menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu
dosa yang lebih besar daripadanya?” Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang
lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?” Maka Nabi Musa dengan
penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih
besar daripada perempuan yang nista itu?”
“Ada!” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa
apakah itu?” tanya Musa a.s. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan
tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali
berzina.”
Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa
kemudian memanggil wanita tadi untuk berjumpanya kembali. Nabi Musa memohonkan
ampun kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang
meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa menyesal adalah sama seperti
mengakui bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya.
Seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan
tidak mempunyai hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.
Sedangkan orang yang bertaubat dan
menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh memberikan maksud yang dia masih
mempunyai iman di dadanya dan yakin bahawa Allah itu berhak keatas dirinya.
Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.
Malah dalam satu hadis Nabi s.a.w.
berkata
“sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja,
maka ia kafir terang-terangan”
(H.R. Atthabarani)
Dalam hadis Nabi s.a.w.
disebutkan:
“Orang yang
meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70
buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka’bah.
Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga
terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan diseksa dalam neraka
selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari
360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di
dunia.”
Sujudlah kepadaNya tanpa
alasan
Al-Ghazzali berkata: “Jika ada orang
berkata, bahawa ia telah mencapai satu tingkat disisi Allah s.w.t. hingga ia
tidak wajib sembahyang, maka tidak ragu dibunuh orang itu, dan membunuh orang
yang seperti itu lebih afdal dari pada membunuh 100 orang kafir.”
Ahmad bin Hanbal berkata: “Tidak sah
berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang, tetapi dalam mazhab kami,
berkahwin dengan wanita kitabiyah dzimmiyah lebih baik daripada berkahwin dengan
wanita yang meniggalkan sembahyang.”
Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita
penzina, mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada kita dan timbul niat untuk
melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan