Kempen  yang menyaksikan pertembungan di antara calon PAS, Mohd Azam Abd Samat dan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim telah berlangsung selama 12 hari dan akan berakhir dalam tempoh beberapa jam.

PAS dijangka akan dapat mengekalkan penguasaan di DUN Sungai Limau dalam pilihan raya kecil kali ini, namun dengan majoriti berkurangan berbanding 2,774 undi pada 5 Mei.

Jangkaan ini antara lainnya berdasarkan kempen BN dengan jentera yang lebih agresif dan lebih tertumpu berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

Namun, usaha ini dijangka masih belum memadai untuk memujuk penyokong tegas PAS untuk mengubah sokongan mereka.

Dalam kempen kali ini, BN dilihat berpeluang untuk melibatkan agensi kerajaan dalam kegiatan kempen untuk memujuk pengundi.

Penglibatan agensi

Pemerhatian ini berdasarkan program sewaktu kempen yang antara lainnya melibatkan agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, serta Yayasan Felda yang dianjurkan untuk memikat pengundi.
free spectacles sungai limau 241013Program tersebut mensasarkan kepada kumpulan usahawan tani, yang membentuk sejumlah besar pengundi, seperti pada majlis 'Himpunan peladang, penternak dan nelayan Mada 2013' pada 26 Oktober lalu.
Dalam program itu mengagihkan 5 kilogram baja percuma, anak pokok jambu dan mempelam serta 20 ekor anak ayam kepada hadirin.
Tumpuan BN ke atas golongan ini juga boleh dilihat seperti dalam program 'Kami Prihatin Yayasan Felda' pada 25 Oktober lalu. Dalam program ini, Yayasan Felda menyalurkan sumbangan bernilai RM1.12 juta termasuk pemberian kaca mata.

Namun, usaha untuk menembusi kubu PAS dilihat masih menjadi cabaran besar buat BN.

Pengaruh Allahyarham Azizan

PAS telah menguasai kawasan DUN ini selama lima penggal sejak tahun 1995 lagi dan kerusi itu juga disandang oleh tokoh yang dihormati di kawasan ini – Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Azizan menjadi orang kepercayaan parti Islam tersebut untuk mengetuai pentadbiran Kedah apabila negeri tersebut jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12.

NONEKeputusan pilihan raya umum ke-13 sememangnya memihak kepada BN, yang kembali mentadbir negeri tersebut dengan diketuai oleh Datuk Mukhriz Mahathir – anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pilihan raya kecil ini terpaksa dilakukan hanya beberapa bulan selepas pilihan raya umum kerana Azizan meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis.

Oleh yang demikian, kumpulan penyokong yang memberi kemenangan kepada Azizan, lima bulan lalu dijangka akan terus mengekalkan pendirian mereka, menurut pusat kajian ILHAM Centre.

Pengerusi eksekutifnya, Muhamad Hisommudin Bakar yang melakukan tinjauan terhadap 602 orang pengundi di Sungai Limau bermula 28 Oktober sehingga 1 November lalu.

Pengundi tak banyak ubah fikiran
Daripada hasil culaan yang dilakukan, beliau menjangkakan PAS kekal di Sungai Limau dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,800 undi.

"Pengundi dijangka tidak banyak mengubah fikiran mereka dalam tempoh lima bulan ini," katanya kepada Malaysiakini.

NONEMenurutnya, BN dijangka mampu menembusi beberapa daerah mengundi yang dikuasai PAS namun, Sungai Limau secara tradisinya merupakan kubu kuat PAS.

Penguasaan PAS di 13 daripada 19 daerah mengundi dalam pilihan raya lalu memberikan cabaran hebat buat jentera kempen BN.

PAS sebelum ini menang di daerah mengundi Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

BN pula menang di daerah mengundi Simpang Tiga, Selengkoh, Sungai Daun, Dulang Besar, Dulang Kechil dan Sungai Kering.

Dalam kempen kali ini, BN mengatur strategi dengan menempatkan pusat arahan serta bilik gerakan utama sayap Wanita Umno, Puteri Umno serta Pemuda Umno di kawasan kubu PAS - daerah mengundi Sungai Limau.
Beliau juga berpendapat bahawa BN mampu merampas daerah mengundi Kampung Titi Batu memandangkan rumah calon BN, Ahmad Sohaimi Lazim berada di kawasan tersebut.

Beliau juga melihat BN memusatkan aktiviti mereka di daerah Kampung Lumat, yang menimbulkan andaian bahawa ia mungkin akan dikuasai parti tersebut.
Namun, secara keseluruhannya, kempen jentera BN dilihat belum cukup untuk menumbangkan PAS, kata Hisomuddin.
"Jentera Umno di sini kekal seperti begitu sahaja. Mereka tak berkempen sepenuhnya seperti sewaktu pilihan raya kecil Kuala Besut dahulu," katanya.
90 peratus Cina undi PAS
Selain itu, pengundi Cina kali ini juga mungkin beralih sokongan kepada BN apabila parti itu memberikan bantuan berjumlah RM2.25 juta kepada tiga buah sekolah Cina serta tabung pendidikan Cina di Sungai Limau.

sungai limau by election 281013 mukhrizJika langkah ini berjaya berjaya mengurangkan majoriti PAS seperti diramalkan, ia mungkin menjadi tanda penerimaan penduduk Sungai Limau terhadap Mukhriz yang mengetuai kempen BN di Sungai Limau.

Bagaimanapun, sejauh mana sokongan mereka akan beralih arah masih sukar dijangka kerana pengundi Cina hanya berjumlah 1,827 orang dan 90 peratus daripada mereka mengundi PAS dalam pilihan raya lalu.

Kehadiran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Sungai Limau dua hari lalu serta anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang semalam yang mengingatkan pengundi agar "menjaga air muka" mereka daripada mengundi BN mungkin mampu mengekang peralihan undi itu.

Jika PAS kekal mempertahankan kerusi Sungai Limau, ia akan menjadi sagu hati buat parti itu yang terlepas pentadbiran negeri selepas mentadbirnya selama satu penggal apabila menang dalam pilihan raya tahun 2008.

sumber : malaysiakini.com