Nyanyian dalam Islam
Nyanyian dan Muzik merupakan salah satu dari cabang seni yang utama. Ia dikenali sebagai suatu seni yang indah dan unik jika dibandingkan dengan seni-seni lain. Seperti yang sedia maklum, Islam merupakan agama yang indah dan Allah sendiri sebagai pencipta alam semesta ini turut dikenali dengan sifatnya yang Maha Cantik dan juga menyukai kecantikan dan juga keindahan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: ” Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya”
(As-Sajdah:7)
Berdasarkan maksud firman di atas, jelas membuktikan bahawa Allah itu sendiri menciptakan setiap kejadian dengan sebaik-baiknya (sempurna). Sebaik-baiknya boleh kita kaitkan dengan sifat Allah yang maha indah dan menyukai keindahan.
Hukum Nyanyian
Ulama berselisih pendapat berhubung hukum nyanyian menurut syarak. Terdapat khilaf ataupun perselisihan pendapat dalam menentukan hukum bagi nyanyian dan muzik. Ada sebahagian ulama menetapkan hukum nyanyian dan muzik adalah haram manakala sesetengah lagi menghalalkan dan tidak kurang ada juga yang mengharuskannya. Setiap dari ulama ini berpegang kepada pendirian masing-masing berdasarkan kepada dalil-dalil serta autoriti yang dibawa dari ayat-ayat al-quran serta hadis-hadis baginda Rasulullah SAW.
Dalil ulama mengharamkan nyanyian dan Muzik
Seperti sedia maklum terdapat sebahagian ulamak yang berpendirian mengharamkan terus nyanyian dan muzik. Mereka telah berhujah dengan mendatangkan beberapa nas-nas aal-quran bagi menyokong pendirian mereka. Antara dalil dari al-quram yang golongan ini ber[egang padanya termasuklah:
Firman Allah:
Maksudnya: dan ada di antara manusia: orang Yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan Yang melalaikan; Yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang Yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang Yang akan beroleh azab Yang menghinakan.
Surah Luqman:6
Perkataan ‘lahwal hadis’ di dalam hadis ini ditafsirkan sebagai nyanyian. Ini menurut riwayat yang sahih daripada ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dn Ibnu Umar. Malah Ibnu Mas’ud telah bersumpah dengan berkata: demi Allah, maksudnya adalah nyanyian. Ini disebut oleh Ibnuu al-Qayyim dan yang lainnya.
Al-Hakim dalam kitabnya pula menyebut bahawa tafsir sahabat berada pada tahap hadis yang marfuk. Ibnul Qayyim turut menambah yang hadis pada sahabat adalah lebih berautoriti dan leboh layak diterima berbanding tafsiran para ulama yang datang selepasnya meskipun masih terdapat pertikaian berhubung pendapat berkenaan.
Berdasarkan ayat yang dikemukakan ini, sebenarnya tafsiran bagi perkataan lahwal-hadith tidaklah hanya terhad tafsirannya kepada maksud nyanyian sahaja. Bahkan ada juga yang mentafsirkannya sebagai cerita-cerita dan kisah-kisah orang a’jam (bukan arab) berhubungkait dengan raja-raja mereka.
Yusuf al-Qardawi tidak menerima pendapat yang menyatakan bahawa tafsir sahabat adalah sama seumpama hadis marfuk. Ini ekoran tafsiran para sahabat lazimnya berasaskan kepada kefahaman mereka sendiri berhubung ayat-ayat al-quran. Ini kerana banyak berlaku pertentangan antara tafsiran dikalangan sahabat sendiri. Jika semua tafsiran mereka setaraf hadis marfuk sudah tentu tafsuran mereka tidak berbeza bahkan serupa antara satu dengan yang lain.
Ibnu Hazmin berpendapat bahawa tafsiran sahabat ini tidak boleh dijadikan hujah kerana beberapa sebab:
1. Orang-orang selain dari Rasulullah, kata-katanya tidak boleh dijadikan hujah.
2. Tafsiran tersebut bertentangan maksud dengan tafsiran para sahabat yang lain.
3. Nas ayat tersebut telah menidakkan hujah mereka sendiri
Dalil al-quran berikutnya yang mengharamkan nyanyian dan muzik:
Maksudnya: “dan apabila mereka mendengar perkataan Yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: "Bagi Kami amal Kami dan bagi kamu pula amal kamu; Selamat Tinggalah kamu; Kami tidak ingin berdamping Dengan orang-orang Yang jahil".
Surah al-Qasas: 55
Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz al-laghwa dalam ayat ini adalah ‘kata-kata bodoh’ seperti ‘caci-maki’, ‘sumpah-seranah’ dan sebagainya. Ibnu Jurayj telah memberi sedikit kelonggaran bagi mndengar nyanyian. Lalu beliau ditanya secara sinis: Pada hari akhirat kelak, adakah nyanyia ini akan dating dalam suratan kebajikan atau kejahatan kita? Lalu beliau menjawab: tiada dalam suratan kebajikan mahupun suratan kejahatan. Ini kerana ia adalah sama seperti al-laghwi dalam satu firman Allah:
Maksudnya:“Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu Yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) Dengan sebab sumpah Yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”
Surah Al-baqarah: 255
Dr Yusuf al-Qardawi tetap berpegang dengan pendiriannya yang menyatakan bahawa tidak semua nyanyian adala laghwa bahkan ia mempunyai hokum yang tersendiri bergantung kepada niat si pelakunya. Niat yang baik boleh mengubah hiburan menjadi suatu qurbah dan perkara yang harus menjadi satu amalan taat. Berbeza pula dengan niat buruk yang akan merosakkan amalan yang pada zahirnya berbentuk ibadat tetapi pada hakikatnya terdapat sifat riya’. Bagi sesiapa yang mendengar nyanyian tanpa mempunyai apa-apa niat sama ada ibadat mahupun untuk maksiat, ia merupakan satu perkara lagho yang dimaafkan. Ia samalah seperti seorang yang bersiar-siar di taman atau duduk di pintu rumahnya sambil melihat permandangan di luar.
Dalil seterusnya bagi golongan yang mengharamkan nyanyian adalah:-
Maksudnya : “Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa Yang Engkau rancangkan)! kemudian siapa Yang menurutmu di antara mereka, maka Sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan Yang cukup.Dan desak serta pujuklah sesiapa Yang Engkau dapat memujuknya Dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu Yang berkuda serta Yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah Dengan mereka Dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". padahal tidak ada Yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Al-Israa: 63 dan 64
Sesetengah ahli tafsir menyatakan: maksud suaramu itu suara syaitan dalam ayat tttersebut ialah nyanyian. Mujahid berkata: suara syaitan ialah nyanyian, seruling, dan hiburan. Ad dohlak berkata: suara tiupan seruling (muzik). Namun begitu, tafsiran ini tidaklah bersifat maksum. Oleh itu, kita tidak wajib berpegang kepada tafsiran ini kerana ramai ahli tafsir lain yang membuat tafsiran berbeza sama sekali.
Ibnu Abbas r,a berkata: Maksud suara syaitan ialah setiap seruan yang menggalakkan perbuatan maksiat kepada Allah. Ia turut ditafsirkan sebagai bisikan was-was. Hakikat yang sebenarnya ialah: apa yang difahami daripada ayat ini, bukan makna zahirnya yang tersurat. Kerana maksudnya di sini ialah keran Iblis yang dilaknat itu telah diberitahu agar menyesatkan umat manusia. Sesungguhnya iblis tidak berupaya menyesatkan hamba Allah yang ikhlas.
HUKUM SUARA WANITA
Firman Allah swt. di dalam Surah Al-Ahzaab ayat 32:
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”
Tiada dalil yang terang dan jelas dalam syariat Islam yang menyatakan hukum bagi suara wanita. Namun demikian berdasarkan hadis-hadis marfu’ hukum suara bagi wanita dapat diperjelaskan.
Contoh hadith yang menyentuh tentang suara wanita ialah daripada Shahih Bukhari, hadis 949 dan 952, Shahih Muslim, hadits 892 menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengizinkan dua budak perempuan bernyanyi di rumahnya. Hadith Riwayat Tirmidzi dinilainya sahih Imam Asy-Syaukani Nailul Authar, VII / 119 juga ada menyatakan tentang perbuatan Rasulullah terhadap suara wanita dimana Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah . Daripada Dalil As-Sunnah ini menunjukkan suara wanita bukanlah aurat, sebab jika aurat tentu tidak akan dibiarkan oleh Rasulullah.[1]
BILAKAH SUARA WANITA MENJADI AURAT?
Suara wanita akan menjadi aurat bila berada dalam keadaan yang berikut,
Pertama, apabila bercakap antara kaum Adam dan Hawa yang bukan muhrim akan perkara yang sia-sia, mengajak kepada perkara maksiat serta melalaikan Keduanya menurut Imam Ghazali ialah ketika wanita menyanyi. Maka pada saat itu suaranya aurat . Terakhir ialah daripada syeikh Atiyah juga memetik beberapa pendapat ulama terdahulu mengenai perkara ini. Al-Qurtubi berkata, suara wanita ketika berkata-kata bukanlah termasuk aurat, kecuali ketika dia menyanyi, maka pada saat itu suaranya aurat
SUARA WANITA DAN NYANYIAN
Pertama, suara itu dalam batas kewajaran, bukan sengaja dibuat-buat contohnya mendayu-dayu, mengada-ngada, merayu, dan seumpamanya.
Kedua, perbuatan itu tidak disertai perbuatan-perbuatan haram dan maksiat, seperti minum arak, membuka aurat, dan sebagainya.
Ketiga, tidak bersuara manja, dengan tujuan menarik perhatian dan menggoda lelaki.
PERINGATAN BUAT KAUM HAWA
1. Kaum Adam dibolehkan bercakap atau berdialog dengan kaum Hawa dengan suatu hajat yang perlu sahaja
2. Kaum Hawa tidak boleh bermanja-manja, memerdukan, melembut-lembutkan suaranya pada saat bercakap dengan lelaki yang bukan muhrimnya kerana ianya boleh menimbulkan nafsu berahi dan fitnah orang
3. Wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri
4. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja
5. Kaum Hawa juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan solat
6. Di antara fitnah dalam suara wanita ialah hilai ketawa, suara yang memberahikan, nyanyian yang bertujuan menggoda dan melalaikan. Ia dilarang bagi menjaga martabat sebagai seorang wanita
7. Wanita yang ingin mempelajari Al-Quran secara berlagu tidaklah dilarang. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya Riadhus Salihin mengenai galakan belajar Al-Quran berlagu.
Hukum alat muzik menurut pandangan Ulama’.
Ulama telah berselisih pendapat dalam menghukum alat muzuk baik dari jenis peralatan tersebut dan juga hukum memainkannya. Terdapat 3 pandangan ulama’ utama dalam hukum alat muzik. Penjelasan terperinci mengenai golongan ulama dan juga pandangan masing-masing adalah seperti yang di bawah.
Golongan Ulamak Yang Pertama
Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua termasuk ulama 4 mazhab bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
Bahawa Allah telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah …..
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )
Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal.
Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi hassan. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram.
Selain itu terdapat juga hadis yang berkaitan dengan pengharaman alat ma’azif
Akan datang masanya di mana orang-orang dari kaumku akan meminum khamar(minuman keras)yang kemudian dinamakannya dengan rentak dan nyanyian-nyanyian para wanita,nanti Allah akan tengelamkan mereka ke dalam bumi, dan akan menjadikan mereka itu monyet-monyet dan babi-babi.[2]
(Riwayat Ibn Majah)
Akan ada dari kalangan umatku segolongan manusia yang menghalalkan zina,sutera,arak dan al-ma’azif
Walaupun ia sahih Bukhari, tapi ia mudhtarib (bersimpang siur rawinya) dan mu’allaq (sanadnya terputus). Pengkritik hadis yg berpendapat demikian ialah Imam Ahmad, Abu Daud, Ibn Hazm, Abu Hatim, alHafeedz azZahabi dan alHafeedz Ibn Hajar Asqalani.
Kalimah mu’adzif dalam hadis di atas tidak disepakati sebagai bermaksud alat muzik.
Golongan Ulamak Yang Kedua
Sebahagian ulama yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik ialah Al Syeikh Mahmud Syaltut Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al Fatawa Dirasah li Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah[3] di mana katanya:
“ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.
Selain itu, Dr. Ahmad al Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al ‘Allamah al Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulama yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu[4].
Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh al Dilalat fi Sama’i al Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan di dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung akan termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulama telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “ Al Laghwa ”. Menurut beliau “ Al Laghwa ” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.
Golongan Ulama Yang Ketiga
Imam Al-Ghazali diantara golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu ialah (al mizmar) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (al awtar) alat muzik bertali dan ( al Kubah Thoblu) gendang kecil ramping ditengah. Ini kerana ia menjadi lambang kepada peminum arak. Selain daripada alat-alat muzik tersebut hukumnya masih kekal dengan seperti asalnya iaitu harus. Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga dengan tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta alat-alat lain.
Al Imam al Ghazali berhujah dengan berkata bahawa syara’ tidak mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling. Setiap perkara yang mendorong kepada yang haram mesti diharamkan juga sebagai satu jalan menghalang daripada berlaku kesesatan.
Muzik bertali dan seruling (atau seumpamanya) menjadi haram kerana mengikuti pengharaman arak berdasarkan beberapa alasan iaitu Alat ini menyebabkan seseorang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali melakukannya.
Selain itu,terdapat ijma’ ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang-orang fasik. Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka termasuk di kalangan kaum tersebut.
Hukum bermain alatan muzik bertali
Dalam kategori-kategori alatan muzik yang menggunakan tali, terdapat banyak cabang daripadanya. Tetapi ianya boleh di khususkan kepada beberapa alat muzik khasnya yang di petik iaitu Al-‘Ud atau Al-Muzhir : Kecapi Ar-Rabab : Rebab (seperti biola). At-Tanbur : Gambus Al-Bazaq : Sejenis gambus kecil, biola, gitar piano.. Adapun alatan muzik seperti gambus, gitar bass, gitar lead, semuanya termasuk dalam kategori gitar. Manakala keyboard termasuk dalam kategori piano.
Pada fasa kemodenan di era kini, muzik telah berkembang dengan begitu pesat, sehingga timbul bermacam-macam persoalan mengenai muzik. Terdapat alatan muzik yang menggunakan sistem komputer seperti minus one yang semakin banyak di gunakan. Begitu juga dengan alat muzik DJ yang di gunakan dalam lagu-lagu berunsurkan rap dan juga r n b dan terdapat juga pada lagu-lagu nasyid kontemporari. Bagaimana maslahah memandangnya.
Hukum bermain gitar, piano dan biola
Mengenai hukum penggunaan gitar dalam Islam, Imam Al-Ghazali menganggap bahawa alat muzik yang dipetik dengan tali(autar) dan yang ditiup dengan mulut(mazamir) adalah sebahagian daripada punca pengharamannya. Beliau beranggapan sedemikian kerana berasaskan kepada kenyataan bahawa ada dalil syarak yang telah melarangnya. Hujah yang telah beliau kemukakan adalah :
Syarak tidak mengharamkannya(alat-alat muzik tersebut) kerana zat alat itu sendiri. Sebabnya ialah, jika ia diharamkan kerana keseronokan yang ada padanya, nescaya semua benda lain yang menjadikan manusia merasa seronok juga tidak boleh. Akan tetapi yang diharamkan itu ialah arak. Oleh kerana pada ketika itu orang ramai pada mulanya sudah begitu ketagih dan sukar untuk membuang tabiat tersebut, mereka terpaksa memecahkan tong-tong arak dan sebagainya. Justeru, setiap apa yang menjadilambang dan simbol kepada peminum arak juga diharamkan iaitulah autar danmazamir.
Pengharaman kedua-dua alat ini adalah ekoran daripada hukum pokoknya iaitu arak. Hukum haramnya samalah seperti hukum berkhalwat dengan wanita ajnabi kerana mengikut hukum pokoknya iaitu zina. Kerana perbuatan khalwat ini adalah gerbang dan muqaddimah ke arah maksiat keji tersebut. Oleh itu, alat muzik autar dan muzamir ini diharamkan ekoran daripada pengharaman arak dengan 3 sebab:-
Muzik tersebut merangsang orang yang mendengar untuk meminum arak. Dan dengan meminum arak itu pula,perasaan seronok mendengar alat muzik itu tadi akan menjadi lebih memuncak.
Bagi seseorang yang baru berhenti minum arak pula, mendengar alat muzik ini akan menggamit ingatannya kepada sejarah silam iaitu tentang tempat dan pesta minumnya dulu. Ingatan ini akan membangkitkan rasa rindunya dan seterusnya akan membawanya semula ke tabiat lama.
Berhimpun dan berkumpul mendengarnya adalah menjadi adat kebiasaan golongan fasik. Sepertimana yang kita sedia tahu, Kita dilarang menyerupai golongan fasik. Ini kerana, “sesiapa yang menyerupai sesuatu puak atau golongan yang negatif, maka dia akan dianggap sebahagian daripada golongan tersebut.”
Setelah Imam Al-Ghazali membuat huraian tersebut, beliau kemudian menyatakan:
Dengan ini jelaslah bahawa sebab pengharamannya bukanlah kerana ia sesuatu yang baik dan menyeronokkan. Sebaliknya, rumusan yang diperolehi melalui sumber syarak membuktikan bahawa semua perkara yang baik adalah halal kecuali jika ia membawa kerosakan kepada manusia[5]. Bersesuaian dengan firman Allah,
“Katakanlah(wahai Muhammad): Siapakah yang (berani ) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezki yang dikurniakanNya?” (Al-A’raf:32)
Syeikh Ibn Baz berkata dalam kitabnya Majmoo’ al-Fataawa[6] 3/423-424 :
Ma’aazif merujuk kepada menyanyi dan peralatan muzik. Nabi SAW berpesan kepada kita, pada akhir zaman akan datang seseorang yang akan membenarkan semua ini seperti mana mereka membenarkan arak, zina dan sutera. Ini adalah satu petanda kenabian nabi SAW semua ini telah berlaku. Hadith ini menyatakan bahawa alat muzik adalah haram, dan mengutuk sesiapa yang menghalakannya, sama seperti mengutuk sesiapa yang berkata arak dan zina dibenarkan. Banyak ayat al-Quran dan hadith yang memberi amaran dan larangan berkenaan nyanyian dan alat muzik. Sesiapa yang menyatakan bahawa Allah membenarkan nyanyian dan alat muzik adalah berbohong dan melakukan kemungkaran besar. Kita memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada hasutan hawa nafsu dan syaitan. Lebih teruk lagi dan lebih berdosa lagi daripada sesiapa yang menyatakan muzik atau alat muzik mustahabb (disarankan). Tidak diragukan lagi, ini membawa kepada perasaan tidak peduli kepada Allah dan agamaNya. Ini menderhaka kepada Allah dan berbohong tentang undang-undangNya.
Apa yang disarankan (mustahabb) ialah, memukul daff (kompang) pada majlis perkahwinan. Perbuatan ini disaran kepada wanita sahaja dalam mengumumkan perkahwinan dan bg mengelakkan fitnah. Tidak ada salahnya wanita bernyanyi sesama wanita, disertakan dengan kompang selagi nyanyian tidak mengandungi perkataan yang menggalakkan kejahatan atau melalaikan manusia daripada melakukan tugas mereka. Ini dengan syarat sesama wanita sahaja dan tidak bercampur dengan lelaki. Dan juga tidak mengganggu jiran tertangga. Sesetengah orang menguatkan nyanyian dengan pembesar suara adalah kejahatan, kerana mengganggu Muslim yang lain, jiran tertangga dan orang lain. Tidak dibenarkan juga bagi wanita di majlis perkahwinan atau majlis lain, menggunakan sebarang alat muzik selain kompang, seperti oud (alat muzik arab yang bertali), biola, rebab (alat muzik arab yang bertali) dan lain-lain. Penggunaan alat muzik ini adalah kemungkaran, kebenaran kepada wanita untuk menggunakan alat muzik adalah kompang sahaja.
Bagi orang lelaki pula, tidak dibenarkan mereka bermain apa-apa alat muzik sekali pun sama ada pada majlis perkahwinan atau majlis-majlis lain. Apa yang Allah tentukan bagi lelaki ialah berlatih menggunakan alatan perang seperti menggunakan pedang, lembing, menunggang kuda, kereta kebal, pesawat pejuang, meriam, machine gun, bom dan lain-lain lagi yang boleh membantu jihad demi Allah.
Di dalam mencari nas pengharaman nyanyian dan muzik tidak ada nas yang cukup kuat di dalam mengisthibat hukumnya. Kaedah fiqh “asal hukum sesuatu perkara itu boleh”. Dalam syariat Islam sesuatu nas itu mestilah cukup kuat dan jelas dalam mengharamkan sesuatu perkara, ini kerana haram dan halal itu ada kaitannya dengan pembalasan di akhirat.
Kebanyakan nas yang dijadikan sandaran dalam pengharaman muzik dan nyanyian dipertikai oleh ulama muktabar akan kesahihanya terutamanya hadis-hadis Rasulullah s.a.w. walaupun ada nas yang sahih dari sudut sanadnya tidak sorih (jelas) dari segi pengharamannya. Pada masa yang sama ada nas yang sorih (jelas) tetapi tidak sahih pula hadis tersebut.
Di antara tanda keuniversalan Islam itu adalah bertoleransi, memberi kemudahan, bukan menjadi masyarakat yang menakutkan orang lain dan menjauhkannya. Dalam satu riwayat Nabi s.a.w telah menunjukkan sikap Baginda yang tegas terhadap Abu Bakar yang bersikap keras ke atas dua orang hamba sahaya yang bernyanyi, ini jelas dalam beberapa hadis yang sahih di antara yang bermaksud: Agar orang-orang yahudi mengetahui, bahawa dalam agama kita (Islam) terdapat keluasan dan toleransi.
Manakala menurut Imam al-Syaukani[7]: “Ulama’ Madinah dan yang bersepakat dengan ulama al-Zohiriy serta ulama-ulama Sufiyyah mengharuskan nyanyian biarpun nyanyian itu diiringi dengan alat muzik yang bertali.”
Sementara itu, menurut Imam al-Haramain di dalam kitab al-Nihayah dan Ibn Abi al-Dunya telah meriwayatkan satu peristiwa yang stabit (tepat) dari sudut sejarah : “Sesungguhnya Abdullah bin al-Zubir memiliki beberapa orang hamba sahaya yang pandai bermain alat-alat muzik yang bertali. Pada suatu hari Abdullah bin Umar telah masuk ke dalam rumah Absullah bin al-Zubir dan mendapati di sisinya terdapat alat muzik yang bertali, lalu dia bertanya kepada Abdullah bin al-Zubir, Apa ini sambil memegang dan memerhatikan alat muzik tersebut, Abdullah bin al-Zubir menjawab: “Alat ini untuk mengimbangi kecerdasan akal.”
Berikut beberapa kesimpulan dari pandangan ulama-ulama mazhab berkenaan penggunaan alat muzik bertali seperti gitar :-
Mazhab Hanbali.
Haram: Segala alat muzik yang ditiup dan bertali seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya.
Mazhab Shafie.
Haram: Segala alat muzik bertali, bertiup dan segala alat muzik yang dipalu melainkan kompang. Seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya.
Mazhab Maliki.
Haram: Menggunakan alat-alat muzik yang bertali seperti gitar dan lain-lainnya.
Mazhab Hanafi.
Haram : Semua jenis alat muzik kecuali kompang.
Hukum muzik menggunakan sistem komputer
Dr al-Imam Prof Yusof al-Qaradhawi berpendapat hadis-hadis yang berkaitan haramnya alat muzik tertentu kesemuanya tidak terlepas dari kecacatan. Ini kerana isu muzik mula dibahaskan di zaman sahabat dan tabi’in. Maka hukum alat muzik (baik dari alat atau penghasilan komputer) itu harus dan keharusannya bergantung kepada penggunaannya. Kecualilah alat muzik itu menjadi lambang kefasikan dan dinisbahkan kepada agama tertentu menurut pandangan uruf (budaya setempat).
Kebanyakan nas yang mengharamkan nyanyian dan muzik adalah apabila ia bercampur dengan perkara-perkara haram seperti nyanyian disertakan dengan arak, pergaulan lelaki dan wanita tanpa batasan, seni kata yang bercanggah dengan iktiqad Islam, muzik yang digunakan yang melampau seperti rock yang padanya tidak mendatangkan ketenangan malahan mendatangkan ketegangan emosi yang tidak stabil.
Nyanyian dan muzik hukumnya harus selagi mana etika Islam dipelihara di dalamnya seperti nyanyian yang menggambarkan keindahan alam, kasih sayang sesama manusia, ketuhanan, kedamaian dan sebagainya.
Perkara ini masih menjadi khilaf di kalangan ulama’ mengenai hukum muzik. Para ulama’ sejak zaman silam telah cuba mengupas masalah ini berdasarkan kepada kefahaman nas-nas yang ada diseragamkan dengan uslub istinbat hukum sebagaimana yang tertera di dalam kanun perundangan Islam. Muzik terus menjadi salah satu isu yang sukar untuk diputuskan hukumnya. Para ulama’ dan fuqaha’ telah berijtihad dalam menentukan hukumnya dan mereka terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang mengharuskan dan golongan yang mengharamkan. Masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan perkara ini.
Sebagai kesimpulannya, hukum bermain alat muzik seperti gitar, piano, dan biola hukumnya harus selagimana tidak ada perkara yang boleh menjadikannya haram seperti adanya arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Begitu juga dengan sesuatu alat itu mengikut ‘urf setempat, jika menunjukkan kepada kefasikan dan nisbah kepada suatu agama lain maka jatuh hukumnya haram. Manakala hukum bermain alat muzik menggunakan komputer juga adalah harus hukumnya selagi tidak ada perkara yang membolehkannya haram.
Isu-isu yang berbangkit berkaitan dengan hukum muzik dan hiburan dalam islam
Antara isu-isu yang selalu diperkatakan ialah:
1) Hukum mendengar atau menyanyikan lagu-lagu bahasa asing yang tidak diketahui makna seni kata atau liriknya.
- tiada dalil atau nas serta pandangan ulama yang khusus mengenainya
- sememangnya ia boleh menimbulkan keraguan
- ia boleh merosakkan akidah seorang muslim jika liriknya bertentangan dengan akidah umat islam.
- Sebagai langkah berwaspada umat islam haruslah meneliti latar belakang penyanyi,konsep lagu tersebut,ciri-ciri lagunya dan sebagainya.
- Menurut Yusuf al-Qaradawi : terdapat syarat berkaitan dengan diri orang yang mendengar hiburan(muzik)
- orang yang mendengar hiburan itu adalah dikira orang yang lebih memahami tentang dirinya sendiri dan lebih layak menjadi penentu hukum kepada diri sendiri.
2) Hukum mendengar serta menyanyikan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang agak melampau atau bercanggah dengan syariah islam.
- diharamkan kerana ianya secara terang-terangan bersalahan dengan apa yang telah disyaratkan oleh ulama’
- Dr.Yusuf al-Qaradawi: Nyanyian yang harus hukumnya ialah nyanyian yang tema dan kandungannya menepati syarak serta.tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam samaada dari segi akhlak, syariah, aqidah dan sebagainya.
3) Isu lagu berbentuk dakwah (nasyid) tetapi menggunakan muzik yang agak melampau seperti berunsur rock dan sebagainya.
- liriknya bercirikan dakwah,nasihat,kisah-kisah nabi,selawat,zikir dan sebagainya.
- Dr.Yusuf al-Qaradawi berpendapat: muzik yang diharuskan itu adalah selama mana ia tidak melampau,serta tidak melalaikan sehingga lupa kepada tanggungjawab sebagai muslim .
Ulama yang mengharuskan hiburan berunsur muzik ini meletakkan beberapa syarat sebagai landasan kepada umat islam. Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh JAKIM garis panduan yang digariskan mengenai hiburan ialah:
Program Hiburan
a. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
b. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
c. Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
d. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
e. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
f. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Persembahan Muzik
a. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.
b. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
c. Tidak melalaikan.
Lirik
a. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
b. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
c. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
d. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
e. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
f. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.
g. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
h. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
Persembahan Artis
a. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
b. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
c. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
d. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.
Persembahan Tarian
a. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
b. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
c. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
d. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
e. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
Tanggungjawab Penganjur
a. Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, hukum bermain alat muzik seperti gitar, piano, biola dan alatan muzik lain yang menggunakan tali hukumnya harus selagimana tidak ada perkara yang boleh menjadikannya haram.
Begitu juga dengan sesuatu alat itu mengikut ‘uruf setempat, jika menunjukkan kepada kefasikan dan nisbah kepada suatu agama lain maka jatuh hukumnya haram. Manakala hukum bermain alat muzik menggunakan komputer juga adalah harus hukumnya selagi tidak ada perkara yang membolehkannya haram.
Hukum tentang muzik ini harus berlandaskan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama’ yang mengharuskannya..
Rujukan
Yusuf al-Qardawi. 2006. “Nyanyian dan Muzik menurut perspektif Islam”, Pustaka Salam Sdn Bhd.
Zuhayli, Wahbah, 1997. Al-fiqh al-islami wa adillatuhu, Damsyik: Al-fikr.
Yusuf al-Qardawi. 2001. “Al-islam wa al-fan, seni menurut perspektif islam”, Perniagaan Jahabersa.
Engku Ibrahim bin Ismail, 1992. “Konsep seni dalam Islam”, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Muhammad Qutb, 1980. “Manahij al-Fan al-Islami”, Cairo: Dar al-syuruq.
Yusuf al-Qardawi. 1967. “al-Halal wa al-Haram fi al-Islam”. Beirut
[1] Abdurrahman Al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 69-70
[2] Yusuf Al-Qardhawi(2010),fikh halal dan haram dalam Islam.cetakan ke 8.
[3] Mahmud Syaltut Al Fatawa Dirasah li Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah
[4] Ahmad al Syarbashi :Yas’alunaka ‘an al Din wa al Hayah
[5] DR. Yusuf Al-Qardawi, Nyanyian dan Muzik Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah, (Cetakan Pertama : Ogos 2006)
[6] http://www.muttaqun.com/music.html
[7] Imam Al-Syaukani, Nail al-Authar, jilid 8, hal. 264-266
WALLAHU'ALAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan