Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya.Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
(Al-Saff ayat 8 dan 9)
BERAPA ramai di antara kita masih mengingati tragedi
ummah yang berlaku pada tahun 1992? Iaitu pada tarikh 6 Disember tahun
itu,Masjid Babri di Ayodhya, India tidak dapat dipertahankan dan diselamatkan apabila
institusi suci umat Islam itu dimusnahkan oleh puak pelampau
Hindu.
Lokasi Masjid Babri di Ayodhya, India
Seramai 150,000 pejuang nasionalis Hindu yang tidak dapat
dihalang memusnahkan masjid itu dalam konflik berpanjangan perebutan antara
Hindu dan Muslim di India.
Salah seorang pelampau Hindu atau lebih tepat, dalang
untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan seorang pemuda yang bernama
Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu daerah di mana terletaknya masjid
itu.
Prasad ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi
kepercayaan dan tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk
kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya runtuh.
Tindakan melampau untuk meruntuhkan masjid purba itu
telah dirancang dengan baik oleh Prasad. Beliau memberi arahan dan latihan yang
secukupnya kepada para pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan
rancangan itu berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi
menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.
Sedangkan masjid itu merupakan salah sebuah masjid
terbesar di negeri Uttar Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya
seramai 31 juta orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad tidak sahaja menceroboh
masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid dan bersama pengikut-pengikut
yang lain mereka berjaya menawan masjid itu. Kemudian bersorak gembira apabila
mereka akhirnya berjaya meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid
tersebut.
Mereka melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai
tanda kemenangan kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau
Hindu.
Suasana tegang ketika Masjid Babri diserang
Prasad puas hati kerana berjaya mengembalikan hak
penganut Hindu yang kononnya masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang
dibina bagi memperingati tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama
Rama.
Namun tujuh tahun selepas kejadian itu, pada tarikh yang
sama kejadian runtuhan Masjid Babri itu, Prasad akhirnya sujud memohon ampun
kepada Allah atas ‘kejahatan’ beliau terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau
berpuasa dan menyesali sehingga mengalir air mata memohon Allah mengampuninya
yang tergamak meruntuhkan rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah,
Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu disiarkan oleh Malayalam
News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember 1999 yang kemudiannya dipetik oleh
Arab News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan apabila melihat sendiri latar
belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana
seluruh puak itu terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid
Babri.
Menurut pemuda ini, sejak kejadian runtuhan masjid itu,
Prasad dihantui perasaan bersalah sehingga begitu menekan jiwanya. Walaupun pada
tangannya masjid itu akhirnya runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian
berikutan beliau merasakan telah melakukan satu dosa yang amat
besar.
Mungkin dengan keluar dari India, Prasad mengharap beliau
tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah itu. Lalu beliau mencari pekerjaan
di Sharjah salah sebuah
negara anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau
menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara
itu.
Sehinggalah pada 4 Disember tahun 1998, pada hari itu
beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan di bandar Sharjah. Secara
tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari sebuah masjid berhampiran.
Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti
khutbah itu dengan jelas.
Prasad berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah
terkejutnya pemuda ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha
Berkuasa atas segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai
kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus mendengar khutbah itu sehingga akhir, semacam
satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke hatinya. Malah seolah-olah telah
tercabut satu beban besar yang selama ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu
serabut.
Segala puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah
memberi hidayah dan membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan
kesalahan yang lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat
dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk Islam itu tidak sahaja
menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat tidak dapat menanggung malu, Prasad
akhirnya dibuang oleh keluarganya sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula
ke India, kalaupun dia pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu juga menyebabkan
parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang menyokong tindakan beliau
beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah dan mengancam untuk membunuhnya
tanpa mengira masa dan tempat.
Namun apa pun ancamannya Prasad tetap teguhkan imannya
terhadap Islam. Islam menjadikan beliau seorang manusia ‘baru’ yang dahagakan
kebenaran sehinggakan dalam tempoh yang masih baru mengenal Islam beliau berjaya
menghabiskan bacaan dan mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau
bersungguh-sungguh untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran
mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya
sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya
tertebus sudah.
“Tetapi sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap
Islam di samping perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam
dan saya mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya
membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.
*Sumber sebuah kehidupan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan