Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu pernah cemerlang. Tidak dinafikan bangsa Melayu memang memiliki asas jati diri yang kuat, berdaya tahan utuh, mempunyai unsur keupayaan untuk bersaing, mampu menyesuaikan diri dan menyumbang kepada survival bangsa serta kesinambungan kuasa pemerintahan. Orang Melayulah yang memainkan peranan utama dalam menubuhkan Kerajaan Sri Wijaya di Palembang dan orang Melayu jugalah yang mempelopori Kerajaan Langkasuka, Majapahit dan Gangga Negara. Orang Melayulah yang mula-mula menyahut seruan Islam di Melaka. Orang Melayulah juga yang menerajui kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, Demak, Acheh, Ligor dan Champa; menjadi pejuang di barisan depan yang menentang penjajah dan berjaya mencapai kemerdekaan. Orang Melayu pernah bangkit dengan berani menidakkan kata-kata kuasa besar dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kebenaran. Walhal, tercatat dalam sejarah, bahawa banyak bangsa lain yang telah tenggelam ditelan zaman dan pengaruh pihak penjajah - Aztec dan Maya di Amerika Selatan, Gipsi di Eropah, Red Indian di Amerika dan pribumi Aborigines di Australia dan Kepulauan Pasifik. Inilah hakikat sejarah bangsa Melayu.
Ketika
merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dengan
tema Kesinambungan dan Perubahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala
Lumpur, Najib Tun Razak mengatakan …“kita perlu berubah daripada sikap sambil
lewa kepada sikap bersunguh-sungguh, daripada sikap berlebih kurang kepada sikap
lebih tepat, daripada kepercayaan karut marut kepada kepercayaan saintifik dan
daripada pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, daripada tumpuan taktikal
kepada pemikiran strategik dan seterusnya daripada pemikiran bercelaru kepada
pemikiran yang mementingkan keutamaan” [Harian Metro 17 Julai 2005]
Menurutnya
lagi, “...untuk menjadi satu bangsa yang perkasa dan berjaya, orang Melayu harus
berusaha untuk berada pada satu tahap yang lebih baik daripada bangsa lain.
Inilah masa terbaik untuk memulakan usaha ke arah memastikan kejayaan bangsa
Melayu dengan melakukan perubahan...”.
Dalam
pada itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap menutup Konvensyen Umno
Johor 2005 mengatakan. “Perjuangan bangsa dan tanggungjawab untuk menjayakannya
adalah melalui perpaduan kukuh dan teguh yang boleh dicapai melalui tiga prinsip
penting iaitu mesti serius dalam apa yang dilakukan, mempunyai perasaan
penyayang serta ihsan selain bersikap adil dan saksama”. Isu membangkitkan orang
Melayu sememangnya akan menjadi antara agenda utama setiap kali menjelangnya
Perhimpunan Agung Umno. Namun melihat realiti orang Melayu yang masih dihimpit
kemiskinan, dilemma siswazah mengganggur, peningkatan kes buli & bunuh,
rasuah politik wang yang terus subur, gejala penagihan dadah, peningkatan kes
HIV, karenah birokrasi dalam melayan keperluan rakyat dan seribu satu macam
masalah seakan-akan terus menghambat dan melengahkan usaha ke arah itu.
Sepertimana ucapan di atas, orang Melayu digesa untuk mengubah sikap dan
pemikiran usang mereka ke takuk yang baru. Memang benar orang Melayu boleh
berubah dan bergerak menuju era kebangkitan. Namun yang menjadi persoalannya,
apakah memadai perubahan itu dilakukan dalam rangka memperbaiki status quo orang
melayu semata-mata atau perubahan secara menyeluruh untuk membangkitkan umat
mengikut ukuran Islam? Sautun Nahdhah kali ini mengajak pembaca budiman untuk
merenung apakah bentuk kebangkitan yang sebenar.
KEBANGKITAN
SEBENAR UMAT
Asas
kepada kebangkitan umat ialah dengan meningkatkan kualiti pemikiran. Kebangkitan
bermula dengan terbentuknya pemikiran, yang dengannya, terbentuk mafhum
(kefahaman) mengenai realiti yang ada disekitar kita. Bermula dari proses
berfikir yang benar, mengikut jalan berfikir yang dijelaskan di dalam Al-Quran,
akan terbentuk aqidah (keyakinan) yang luhur. Seterusnya daripada aqidah
tersebut akan terbentuk qaidah fikriyyah (kaedah berfikir) yang digunakan untuk
membuat keputusan (kesimpulan) yang disertai dengan kesedaran penuh akan
hubungan diri dengan Allah swt. Kaedah berfikir ini akan menjadi landasan dalam
memahami satu-satu permasalahan. Dengan kaedah berfikir Islam yang benar ini
segala permasalahan yang timbul akan difahami dengan jelas, sesuai dengan sudut
pandangan dan ruang lingkup Islam. Seterusnya kefahaman yang Islami ini akan
mempengaruhi muyul (kecenderungan) atau sikap seseorang individu – ini berlaku
apabila dorongan keperluan jasmani dan naluri manusia diikat dengan mafhum yang
Islami. Inilah kebangkitan yang sebenarnya - kebangkitan yang diasaskan kepada
pemikiran dan aqidah Islam.
Apa
yang kita saksikan hari ini mengenai apa yang sedang berlaku di dalam dunia
Islam umumnya dan di negara kita khususnya menjadi bukti yang amat jelas bahawa
apabila Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di dalam kehidupan, maka timbullah
bermacam-macam permasalahan. Masalah bangsa Melayu sering diterjemahkan melalui
ungkapan Melayu Mudah Lupa, Melayu Layu, Melayu Malas, Melayu Makin Mundur dan
sebagainya dan ini tidak dapat dipisahkan dari sikap orang Melayu sendiri yang
tidak mahu berfikir secara serius mencari jawapan yang menghantar kepada
penyelesaian masalah mereka. Apakah bangsa Melayu Islam rela generalisasi
sebegini terus-menerus dilabelkan pada diri mereka tanpa berusaha untuk mencari
punca dan penyelesaiannya? Apakah bangsa Melayu tidak ingin melihat aspirasi
untuk membentuk bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang terealisasi?
Sangatlah menyedihkan apabila langkah-langkah yang disarankan untuk
membangkitkan bangsa Melayu hanyalah berkisar di sekitar peningkatan taraf
perekonomian, penyemaian nilai-nilai murni, memperkasakan sistem pendidikan atau
meningkatkan penguasaan bahasa asing tanpa penekanan yang serius kepada
peningkatan taraf berfikir umat.
Perlu
diingatkan bahawa perjuangan yang hanya disandarkan kepada unsur assobiyyah
bangsa Melayu semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebaliknya,
perjuangan dan kebangkitan orang Melayu haruslah dibincangkan di dalam konteks
bangsa Melayu sebagai penganut Deen Islam. Hari ini, pemimpin-pemimpin Melayu
yang sering melaungkan slogan perubahan pada hakikatnya telah gagal menerapkan
perubahan yang menyeluruh di dalam diri mereka dan negara ini. Hakikatnya, sejak
kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, kita, sebagai bangsa Melayu Muslim masih
lagi berpegang kepada idea sekularisme; tiada perubahan mendasar yang dapat
diperhatikan dalam menerapkan sistem Islam secara menyeluruh di dalam negara.
Sewajarnya, para pemimpin Melayu Muslim yang melaungkan slogan-slogan perubahan
ini haruslah mengorak langkah untuk memaparkan contoh perubahan yang mereka
laungkan namun hakikatnya mereka hanyalah pandai beretorik tentang perubahan.
Keadaan negara tetap sama; sistem yang diterapkan tetap sahaja sistem yang tidak
Islami - yang tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang wujud akibat
dari tiadanya Islam di dalam kehidupan.
Oleh
itu, perubahan yang sewajarnya ditempuh adalah dengan mendirikan pemerintahan
Islam dan ianya mestilah dibangunkan di atas landasan pemikiran Islam. Bagi
mencapai tujuan ini, umat, terutama kaum Melayu perlulah ditanamkan dengan
pendidikan dan pemikiran Islam yang luhur, yang dibina di atas landasan aqidah
Islam yang murni. Dengan demikian, kesedaran umat, khasnya golongan Melayu untuk
terikat dengan seluruh perintah, larangan dan hukum-hukum Allah akan dapat
diwujudkan. Jika ini dapat dilakukan oleh umat, maka akan tercapailah
kebangkitan yang pasti.
Contoh
terbaik yang dapat dijadikan teladan adalah sebagaimana yang telah dilakukan
oleh Rasulullah Saw. Tatkala Allah membangkitkannya dengan risalah Islam,
baginda menyeru umat manusia kepada aqidah Islam. Ini tidak lain bererti menyeru
kepada suatu pemikiran – pemikiran yang mendasari pandangan hidup seseorang. Dan
tatkala penduduk kota Madinah dari kalangan kabilah Aus dan Khazraj dapat
disatukan dengan aqidah Islam, yakni dengan pemikiran ini, mereka mula memiliki
arah tertentu yang memimpin kehidupan mereka. Di sinilah pemerintahan Islam mula
dibina di atas dasar aqidah.
Rasulullah
saw pernah bersabda “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka
mengatakan ‘Laa ilaha illallah Muhammad Rasulullah’, Apabila mereka
mengucapkannya, maka terpeliharalah darahnya dan hartanya kecuali ditumpahkan
dan diambil dengan cara yang haq (benar)”. Hadis ini pada hakikatnya menyeru
kepada satu pemikiran, satu aqidah – yang akan menjadi asas kepada kebangkitan
umat. Setelah pemerintahan diraih di kota Madinah maka pemikiran Islam, yang
merupakan dasar kebangkitan umat mula tersebar ke kawasan lain di didalam
jazirah Arab. Akhirnya dalam beberapa tahun selepas kewafatan Rasul
bangsa-bangsa lain mula memeluk Islam dan meyakini pemikiran ini. Dalam beberapa
tahun telah termanifestasi kebangkitan umat – kebangkitan sebenar yang didasari
oleh aqidah dan pemikiran Islam.
Jalan
atau thariqah (landasan yang telah ditentukan oleh syara’) untuk mencapai
kebangkitan itu adalah dengan menegakkan pemerintahan yang didasarkan kepada
pemikiran, bukan didasarkan kepada peraturan, perundangan ataupun hukum yang
dipaksakan. Hakikat ini sebenarnya berlaku bukan sahaja untuk Ad-Deenul Islam
tetapi juga bagi ideologi-ideologi dunia lain. Kebangkitan suatu umat atau
bangsa hanya akan dapat direalisasikan sekiranya ia didasarkan kepada
pemikiran/aqidah yang dianuti oleh umat/bangsa tersebut. Penegakkan negara yang
didasarkan kepada perundangan dan hukum yang dipaksakan tidak mungkin mencapai
kebangkitan. Bukti kenyataan ini cukup banyak. Antaranya adalah seperti apa yang
telah dilakukan oleh Mustafa Kamal di Turki. Beliau menegakkan pemerintahan di
atas dasar dan perundangan Barat yang dipaksakan keatas rakyat. Kemudian, di
atasnya dibangunkan pemerintahan. Beliau melaksanakannya dengan sepenuh usaha
melalui strategi pemaksaan, ugutan dan sebagainya. Meskipun demikian, Turki
tetap saja tidak mampu meraih kebangkitan yang diinginkan. Turki tetap tidak
mampu bangkit malah mengalami kemunduran demi kemunduran. Pada masa yang sama,
Lenin (1917M) yang muncul pada zaman yang hampir sama dengan Mustafa Kamal
(1924M) mampu membangkitkan Rusia sehingga menjadi negara yang kuat. Sebabnya
tiada lain kerana Lenin mendirikan pemerintahannya di atas landasan pemikiran
yang secara umumnya di’anuti’ oleh bangsanya, iaitu pemikiran Komunisme. Dari
pemikiran ini muncul penyelesaian-penyelesaian terhadap masalah kehidupan
sehari-hari, yang berupa peraturan dan perundangan yang menjadi penyelesaian
terhadap segala permasalahan dalam bentuk hukum yang bersandar kepada pemikiran
tersebut. Dengan kata lain, dari pemikiran ini dibangunkan pemerintahan dan
seterusnya ia membawa kepada kebangkitan suatu umat/bangsa. Eropah, sebagai
contoh yang lain, tatkala mengalami kebangkitan, ia didasarkan pada suatu
pemikiran - pemisahan urusan agama dengan negara dalam kehidupan (sekularisme)
dan kebebasan. Begitu juga dengan Amerika, tatkala mengalami kebangkitan, ia
didasarkan pada pemikiran yang sama, iaitu sekularisme dan kebebasan.
Walaubagaimanapun,
kebangkitan yang didasari oleh suatu pemikiran/aqidah ini tidak secara automatik
membawa pengertian bahawa kebangkitan tersebut adalah kebangkitan yang benar.
Kebangkitan yang berlaku di Eropah, Amerika dan Rusia ini merupakan kebangkitan
yang bathil (salah) kerana tidak di dasari oleh asas ruhiyah (kesedaran akan
hubungan manusia dengan pencipta iaitu Allah Swt). Kebangkitan yang sahih
(benar) adalah kebangkitan yang didasari oleh asas ruhiyah dan hanya Islamlah
ideologi yang membekalkan umatnya dengan asas ini.
Bangsa
Arab, tatkala mengalami kebangkitan, didasarkan kepada pemikiran Islam. Di atas
landasan aqidah Islam, pemerintahan dan kekuasaan Islam ditegakkan. Bangsa Arab
bangkit tatkala mereka meyakini dan berpegang teguh kepada pemikiran Islam dan
di atasnya dibangunkan pemerintahan dan kekuasaan. Semua ini menjadi bukti yang
pasti bahawa jalan untuk mencapai kebangkitan adalah dengan menegakkan
pemerintahan di atas suatu pemikiran dan bukannya di atas dasar perundangan atau
hukum yang dipaksakan keatas sesuatu umat atau bangsa.
POTENSI
KEBANGKITAN DALAM DIRI UMAT ISLAM.
Ketika
penghuni Eropah mula meniti jalan kebangkitan, maka muncul beberapa nama yang
membincangkan tentang kebangkitan (renaissance) - Immanuel Kant, Montesque, Adam
Smith, John Stuart Mill dan lain-lain intelektual barat yang lain yang tidak
mampu kami paparkan semuanya. Pada waktu itu, karya-karya mereka dikaji
berulang-ulang oleh mereka yang dahagakan kebangkitan. Apa yang jelas dari
penulisan-penulisan ini adalah pemahaman bahawa kebangkitan = anjakan paradigma.
Pada zaman itu, bagi mereka, apa yang harus dilakukan adalah meletakkan akal
manusia sebagai piawai dan menolak dogma gereja sejauh-jauhnya.
Hakikat
ini diulangi oleh seorang pakar motivasi masyhur, Stephen R. Covey yang
menggambarkan bahawa “Manusia berubah berasaskan konsep”. Tamadun Barat yang
berusia kurang dari 300 tahun ini baru sahaja menemukan jawapan untuk
kebangkitan, sedangkan Islam, lebih 1400 tahun yang lepas telah mengajar erti
sebuah kebangkitan. Islam telah mampu membangkitkan manusia dan telah
mengajarkan bahawa sebuah kebangkitan hanya boleh dikecapi melalui perubahan
konsep yang menyeluruh dalam hidup. Ini tertuang di dalam Al-Quran dimana Allah
swt berfirman
“Sesungguhnya,
Allah tidak akan mengubah keadaan yang ada pada suatu kaum, sehingga kaum itu
sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka”. [TMQ Ara’du
13: 11]
Dari
ayat di atas, umat harus mengubah keadaan yang ada pada diri mereka melalui
peningkatan taraf berfikir yang didasarkan pada asas ruhiyah. Contohnya, apabila
mengamalkan sistem ekonomi, umat Islam tidak menjadikan asas manfaat sebagai
ukuran, malah sentiasa menjadikan aqidah Islam dan keterikatan dengan hukum
Allah, kesan dari kesedaran akan hubungannya dengan Allah, sebagai ukuran. Umat
Islam harus yakin bahawa potensi kebangkitan dalam diri mereka sentiasa terbuka.
Yang jelas, jika kebangkitan yang dijana tidak berdasarkan Islam, maka
kebangkitan itu berjalan di atas dasar yang salah. Inilah realiti musuh-musuh
Islam seperti Amerika dan sekutunya. Mereka mampu dan boleh mengisytiharkan
negara mereka sebagai negara maju, namun taraf berfikir bangsanya masih primitif
dan bersifat haiwaniyah. Pemikiran rendah ini termanifestasi ketika mereka
memerlukan sumber alam yang tidak atau kurang terdapat di negara mereka. Mereka
dengan sewenang-wenangnya menjajah Iraq, membunuh rakyatnya dan merampas
kekayaan minyaknya tanpa memperdulikan aspek moral/ruhiyyah dalam melaksanakan
tindakannya itu. Ini jelas bertentangan dengan kebangkitan yang didasarkan
kepada Islam.
KHATIMAH
Hakikatnya,
di dalam rahim umat Islam sudah lahir berjuta-juta Muslim yang memiliki potensi
besar, baik sebagai ulama, ilmuan, saintis, teknokrat, ataupun usahawan. Malah
kekayaan sumber alam yang melimpah ruah di sebahagian besar wilayah
negara-negara Islam mampu menjana kebangkitan yang diinginkan. Sayangnya, ibarat
penyapu yang lidinya bertaburan, sumber umat Islam tidak dapat difokuskan agar
boleh digunakan secara efektif. Ketahuilah, umat ini telahpun mempunyai modal
yang cukup kuat untuk bangkit. Yang perlu dilakukan adalah menggiatkan da'wah
agar umat Islam kembali kepada Islam, dengan menjadikan syari'at Islam sebagai
tolok ukur (miqyas) dalam menyelesaikan setiap permasalahan kehidupannya. Jika
umat telah bangkit taraf berfikirnya, tentu saja mereka menginginkan agar Islam
mengatur kehidupannya. Marilah kita merenung hadis Rasulullah.
"Masa
kenabian akan hadir di tengah-tengah kalian selama Allah menghendaki. Allah
kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah
kemudian Khilafah yang tegak di atas manhaj kenabian yang akan tetap ada selama
Allah menghendakinya. Allah lalu mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk
mencabutnya. Muncullah kemudian kekuasaan yang zalim selama Allah
menghendakinya. Allah kemudian mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk
mencabutnya. Selanjutnya, muncullah kembali Khilafah yang tegak diatas manhaj
kenabian. Setelah itu, Rasulullah saw diam” [HR
Ahmad]
Allah
swt. berjanji bahawa umat Islam akan bangkit semula dengan menegakkan kembali
kepimpinan Khilafah menurut minhaj kenabian. Inilah manifestasi kebangkitan
sebenar bagi umat Islam. Dan bagi bangsa Melayu, inilah perubahan dan
kebangkitan yang kita inginkan selama ini. Dengan kebangkitan Islam sahajalah,
tidak Melayu hilang di dunia!!
sumber : bersihjiwahati.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan