KULIAH URA
(UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
Oleh Dr.
Yusof Al-Qardhawi
1. ADAKAH
boleh ditetapkan awal Ramadhan melalui kiraan falak?
Dr.
Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki, salah seorang
ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan
kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata, maka persaksian sesiapa
yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.
Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan
Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama’ hadis,
Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu Sarij yang
mentafsirkan hadis:
- “Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan.”
Dr. Yusof
al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh dijadikan sekurang-kurangnya
sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan. Dengan itu jika ahli falak
mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan
kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk
meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30
hari Sya’ban.
Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah
s.a.w.:
- “Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.”
Beliau
menafsirkan hadis tersebut sebagai keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah
s.a.w., awal Ramadhan ditentukan dengan melihat anak bulan.
Adapun hadis:
- “Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.”
Beliau
mentafsirkan hadis ini berdasarkan kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan
matlamat yang tetap dan wasilah yang boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah
penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan
dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata,
maka wasilah itu diterima. Kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat
dan lebih baik dari persaksian mata.
2. Apakah
hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan (tahun hijrah) dan bukannya
pusingan matahari (tahun Masehi)?
Dr. Yusof
al-Qardhawi menerangkan bahawa di antara hikmah puasa tersebut diwajibkan
berdasarkan pusingan bulan:
- 1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddah seorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.
- 2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.
- 3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada Tuhan dalam setiap keadaan.
3. Adakah
puasa tetap sah jika seseorang melakukan maksiat ketika dia sedang
berpuasa?
Dr.
Yusof al-Qardhawi menolak pandangan Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat
akan membatalkan puasa seseorang seperti makan dan minum. Walau pun begitu
beliau mengatakan bahawa maksiat yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa
akan menghilangkan hasil yang diharapkan dari puasa
tersebut.
Dengan
itu yang terbaik adalah seseorang itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa
salafussoleh yang menjaga diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi
sebaliknya dari perkara-perkara haram dan melalaikan.
4. Adakah wujud sebenarnya
‘waktu imsak’?
Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz Ibnu
Hajar yang berkata:
- “Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”
Dr.
Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa ‘waktu imsak’ tersebut adalah suatu yang
tidak perlu kerana ulama’ silam makan dan minum sehingga azan Subuh
berkumandang.
5. Manakah yang lebih afdhal
bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?
Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seorang
bermusafir boleh berbuka puasa walau pun perjalanan yang ditempuhi itu tidak
memberikan apa-apa masyaqqah(keberatan
dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu
sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan
beban).
Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?
Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’
menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak
mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di
manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.
- (i) Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.
- (ii) Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhalbaginya.
6. Bilakah
waktu berbuka bagi seseorang di dalam pesawat?
Dr. Yusof
al-Qardhawi menegaskan bahawa waktu berbuka puasa bagi seseorang yang berada di
dalam pesawat tidak sama dengan waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di
atas daratan. Kesilapan sering dilakukan oleh peramugari dan juruterbang yang
mengisytiharkan masuknya waktu Maghrib berdasarkan waktu di
daratan.
Beliau
mengatakan bahawa sebagaimana waktu Maghrib berbeza dari satu tempat berbanding
tempat yang lain disebabkan oleh perbezaan kedudukan tempat tersebut (garis
lintang dsb) di atas muka bumi, begitu juga waktu Maghrib berbeza berdasarkan
ketinggian. Kemungkinan waktu Maghrib sudah masuk bagi penduduk satu-satu bandar
, tetapi bagi penduduk yang tinggal di tempat tinggi di bandar yang sama masih
lagi dapat melihat cahaya matahari dengan jelas.
Inilah
juga fatwa Ibnu Abidin, salah seorang ulama’ mazhab Hanafi:
- “Sesiapa yang tinggal di kawasan yang tinggi seperti menara Iskandariah, beliau tidak boleh berbuka selagi tidak tenggelam matahari di tempatnya, manakala bagi penduduk negeri tersebut boleh berbuka jika matahari telah tenggelam di tempat mereka. Begitulah juga halnya dengan terbit matahari bagi sahur dan solat Subuh.”
7. Bilakah
malam Lailatul Qadr?
Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak ada
pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul
qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa
terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.
Apa
yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Pendapat
yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam ganjil dan kemungkinan
tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun berikutnya.
Jika Ramadhan
tahun itu 30 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika
Ramadhan tahun itu 29 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke
20.
8. Bolehkah zakat fitrah
dikeluarkan di awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang
diamalkan oleh sebahagian umat Islam)?
Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Imam
Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata:
- “Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”
Dr. Yusof
al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada hari ini jauh lebih luas dan
lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah s.aw. Ditambah pula jika zakat
itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan atau mana-mana badan swasta, sudah
tentulah ia memerlukan masa untuk menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul
dapat memenuhi keperluan si penerima zakat di hari Raya nanti.
9. Bolehkah
wang menggantikan beras atau gandum di dalam zakat fitrah?
Imam
Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak membenarkan beras atau gandum
tersebut diganti dengan wang tunai. Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan
Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.
Di antara
hujah yang diberikan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi:
- (i) Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai
- (ii) Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan sukatan makanan lebih mudah untuk diukur
Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa
bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung
kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi keperluan penerima zakat. Apa
yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan penerima zakat kerana kerana
wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya kepada makanan sahaja sebaliknya
boleh digunakan untuk membeli pakaian, keperluan Ramadhan dan keperluan hari
raya.
Peringatan
& Terimakasih:
Artikel ini
diangkat dari http://satuperkongsian.wordpress.com/
Posted by
Ustaz Muhammad Fauzi under Fatwa
Menurut
beliau: Di sini dikongsikan beberapa pandangan Dr. Yusof al-Qardhawi tentang
beberapa permasalahan berkait dengan ibadah di bulan Ramadhan.
Pandangan-pandangan ini saya ambil dari laman web beliau http://www.qaradawi.net/. Untuk menjimatkan
masa saya menulis dan memudahkan pembaca memahami pandangan beliau, saya hanya
mengambil pandangan beliau tanpa membawa sekali hujah-hujah dan khilaf ulama’
yang beliau nyatakan sekali di dalam laman web tersebut. Kepada sesiapa yang
berminat untuk mendalami perbincangan ulama’ berkenaan topik-topik tersebut sila
rujuk di laman web beliau. Moga bermanfaat kepada semua.
Sumber : Ibnu
Hasyim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan