Ada riwayat Muslim yang diterima dari
Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w
memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah
s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam
bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua
duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku
memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya
yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi
Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan
memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy
adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia
ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia
ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu
sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya
pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar
membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat
menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu
bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari.
Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang
sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan
duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu:
“Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”
Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai
kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini,
sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang
ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki
yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar
itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari
lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang
seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku.
Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia
berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar
membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama
satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan
binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali
jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya
dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk
menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan
kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat
ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan
sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus
sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di
Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang
tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu
berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar
tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi:
“Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya
yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.”
Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu
disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu
berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia
buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu
bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab:
“Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau
begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai
pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang
begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu
lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal.
Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam
masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah
yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para
Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah
s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang
tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah
sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya
Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih
meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku
sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang
dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam
atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata
Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi
bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal
akan datang dari Khurasan atau Asfihan
sumber darulnuman.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan