Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada
pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan
dengan emas? Sekian, terima kasih.
Jawapan;
1. Terdapat larangan yang jelas dari
Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhdaap orang lelaki memakai perhiasan dari
emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas
lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam
at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam
at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).
Oleh itu, jam yang dibuat dari emas
haram lelaki memakainya.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari
emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya,
lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya
kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai
perhiasan.[2]
2. Adapun jam yang bersalut emas; jika
salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan
lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu
sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan
lapisan emas di luarnya), para ulamak berbeza pandangan;
a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab
Hanafi, Maliki dan Syafiie); jika salutan emas itu banyak, ia adalah haram
dipakai oleh lelaki. Jika ia sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi
makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih
dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan
atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan
apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]
b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan
memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat
dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis
tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan
sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)
Tindakan terbaik ialah kita tidak
memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya
dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi
makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat
mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah
tindakan terbaik.
Wallahu a’lam.
Nota;
[1] Begitu juga, diharamkan ke atas
kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa
ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya.
(Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa
al-Fiddah).
[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya
harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti
membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya
jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak.
(lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm.
348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang
ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada
bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana
perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya
diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan,
bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut
mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu
dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk
perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan,
hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram.
Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan,
sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab
al-Aniyah).
[3] Tidak diharamkan memakainya kerana
dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia
seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut
pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak
tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm.
369).
Rujukan;
1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah,
Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih
Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a
Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254
(bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa
al-Fiddah..).
- Sumber
dari insafislam.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan