Kebanyakan kita sudah tentu pernah
menghadiri pelbagai seminar, kursus, ceramah atau bengkel. Sesungguhnya suatu
hal yang menarik yang dapat diperhatikan pada setiap program tersebut ialah
apabila sesi itu dikendalikan sama ada oleh penganjur, pengerusi, ataupun
penceramah yang muslim maka sepertinya suatu kewajipan bahawa mereka akan
memulakan sesi itu dengan bacaan Ummul Kitab dan mengakhiri sesi tersebut dengan
Surah Al-Asr.
Secara umumnya, ramai yang tahu mengapa
harus dimulakan dengan Ummul Kitab dan sekiranya ditanya, ramai yang akan
menyatakan yang Al-Fatihah itu maksudnya buka, maka molek sekiranya sesuatu yang
baik itu (majlis ilmu yang dihadiri) dimulakan dengan Al-Fatihah. Maka,
sekiranya dilanjutkan soalan mengapa pula harus ditamatkan dengan Surah Al-Asr?
Barangkali jawapan yang biasa didengari ialah surah itu mengingatkan kita
terhadap kepentingan masa. Ada juga yang menyatakan yang kita perlu menyampaikan
ilmu yang telah dipelajari dalam majlis itu.
Pernahkah anda terfikir untuk bertanya
kepada penceramah tersebut, mengapa harus dibacakan Surah Al Asr? Tidakkah boleh
ditutupkan majlis ilmu itu tadi dengan surah lazim yang lain?
Meneliti maksud surah Al-Asr yang
bermaksud : “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 –
3).
Sekiranya diperhatikan, terjemahan
surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu
:
1. Allah SWT bersumpah dengan
masa
2. Allah SWT menyatakan sesungguhnya
manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT
meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan
masa.
3. Allah SWT memberi pengecualian rugi
kepada golongan yang berikut :
i. Orang yang beriman
ii. Orang yang beramal
soleh
iii. Orang yang
berpesan-pesan
iv. Orang yang sabar
Dalam konteks ini, dapat kita
perhatikan bahawa ciri-ciri orang yang tidak rugi yang disenaraikan di atas
sebenarnya berada dalam satu tertib yang mana dengan hanya mengikuti tertib
tersebut dapat mengelakkan sesorang daripada menjadi rugi. Dan yang menariknya,
penekanan rugi di sini bukan hanya merujuk kepada tauhid terhadap Allah
semata-mata malah mencakupi apa sahaja perlakuan manusia. Ini bermaksud, bagi
mereka yang tidak beriman kepada Allah juga harus memahami proses ini berlaku
bagi mengelakkan mereka termasuk dalam kategori rugi.
Tertib golongan yang terkecuali
daripada kerugian:
1. Orang yang
beriman
Iman atau bahasa mudahnya bermaksud
percaya. Seseorang itu dikatakan beriman apabila dia mempercayai apa yang
disampaikan kepadanya. Dalam konteks perilaku manusia, adalah lebih mudah bagi
seseorang melakukan sesuatu yang dipercayainya, contohnya mempercayai bahawa
memakan ubat yang dibekalkan oleh doktor adalah usaha dalam menyembuhkan
penyakit. Dalam hal mempercayai sesuatu ini biasanya manusia lebih mudah jatuh
percaya apabila melihat bukti dengan matanya sendiri. Sebagai contoh, adalah
sukar mempercayai keberkesanan ubat kurus yang dijual oleh seseorang yang gemuk
orangnya, kecuali orang itu menjadi kurus terlebih dahulu. Maka sekiranya anda
membeli ubat itu semata-mata ingin menjaga hati si penjual yang berbadan gemuk
tadi, bukankah satu kerugian kepada anda?
2. Orang yang beramal
soleh
Amal atau melakukan sesuatu bermaksud
anda melakukan sesuatu sama ada atas keinginan sendiri atau dorongan sesuatu.
Dalam hal ini, adalah satu kerugian buat anda sekiranya anda percayakan kepada
sesuatu yang mendatangkan kebaikan tetapi anda tidak melaksanakannya. Sebagai
contoh, anda tahu bahawa solat adalah wajib dan sesiapa yang meninggalkannya
akan berdosa. Tetapi di sebalik kepercayaan anda kepada perkara fardhu itu, anda
tidak pun mengamalkannya. Begitu juga dengan pelbagai perkara lain yang anda
pelajari dalam hidup seperti penggunaan tali pinggang keledar. Anda percaya
bahawa penggunaannya mampu menyelamatkan nyawa. Tetapi, jika anda tidak
menggunakannya walaupun anda percaya kesan penggunaannya, maka anda akan menjadi
orang yang rugi terutamanya apabila kemalangan berlaku dan anda mendapat musibah
kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar.
3. Orang yang
berpesan-pesan
Berpesan-pesan di sini boleh difahami
dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan seperti di atas.
Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan ini
perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi. Memetik
contoh terdahulu, pemakaian tali pinggang keledar. Sebagai orang yang
mempercayai dan menggunakan tali pinggang keledar, adalah penting untuk anda
sentiasa mengingatkan atau berpesan kepada mereka yang menaiki kereta anda untuk
turut sama menggunakan tali pinggang. Adalah rugi sekiranya hanya anda yang
menggunakannya kerana andainya kemalangan berlaku, hanya anda seorang yang
terselamat. Begitu juga dengan aspek ibadah, seandainya anda rajin ke masjid
tetapi tidak mengajak orang lain turut sama ke masjid, maka anda akan menjadi
orang yang rugi kerana anda juga boleh mendapat pahala kerana menggalakkan orang
ke masjid dan menyeru orang lain berbuat kebaikan.
4. Orang yang sabar
Dalam tertib ini, sabar berada di
bahagian terakhir proses kerana hanya selepas anda beriman, beramal dan
menyebarkan sesuatu, barulah anda bersabar. Mengapa keadaan ini berlaku? Hal ini
demikian kerana manusia tidak mudah menerima perubahan. Perubahan menuntut
pengorbanan masa, wang dan usaha yang kuat. Atas dasar ini, kita diminta
bersabar atas usaha yang dilaksanakan untuk melihat hasilnya. Bayangkan senario
ini; anda percaya bahawa solat berjemaah itu bagus, anda mengamalkannya dengan
ke masjid dan anda menyebarkan dengan mengajak anak-anak anda ke masjid. Anda
telah pun melengkapkan ketiga-tiga tertib di atas. Namun anak anda menolak dan
tidak mahu mengikut anda ke masjid. Anda menjadi berang dan marah. Ini boleh
mengakibatkan anak-anak menjadi takut, kecewa dan sebagainya yang mengakibatkan
mereka semakin menjauhi anda dan menyukarkan anda mendidik mereka. Bukankah ini
satu kerugian? Sebaliknya apabila anak-anak menolak, anda menasihati dengan
lembut, menunjukkan teladan yang baik maka ini lebih dekat dengan hati mereka
dan mampu mempengaruhi mereka.
Benar, ia mungkin tidak semudah yang
disangka namun disinilah cantiknya Islam yang menekankan konsep doa dan tawakkal
setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha kita mengajak manusia ke arah
kebaikan. Siapa tahu Allah SWT menggerakkan hati mereka setelah melihat
ketulusan dan keikhlasan hati anda.
Sesungguhnya merupakan satu kerugian
bagi seseorang yang melakukan sesuatu perkara sehingga selesai tanpa dia percaya
bahawa apa yang dikerjakan itu memberi manfaat kepadanya. Adalah sia-sia kepada
mereka yang percaya tentang kepentingan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya.
Juga rugi bagi seseorang andainya satu perkara yang baik, diyakininya, diamalkan
tetapi tidak disampaikan kepada orang lain. Begitu juga buat mereka yang
percaya, mengamalkannya, menyampaikan kepada orang lain namun tidak pula
bersabar dengan keputusan atau maklum balas daripada orang
tersebut.
Berbalik kepada pembacaan surah Al-Asr
pada penghujung majlis ilmu, ia memberi isyarat kepada anda bahawa adalah
penting kepada anda untuk mempercayai apa yang disampaikan, bertekad untuk
mengamalkannya serta menyampaikan ilmu itu kepada sesiapa yang tidak berada di
majlis yang sama. Kemudian anda perlu bersabar dengan respon yang bakal diterima
kerana tidak semua orang suka menerima apa yang disampaikan oleh
anda.
Begitulah proses peningkatan kebolehan
manusia boleh berlaku. Setiap perkara yang dikerjakan harus mengikuti tertib di
atas bagi membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran dan ilmu. Ini
bermaksud, apabila selesainya majlis ilmu tersebut, anda mula memikul satu
tanggungjawab. Bukan lagi pulang dengan tidak perlu memikirkan
apa-apa.
Setiap individu mempunyai kapasiti
untuk berubah dan melakukan peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan
adalah dalam bentuk proses dan sememangnya sesuatu proses menuntut pengorbanan
masa. Oleh itu Allah SWT telah bersumpah dengan masa kerana masa terlalu penting
buat semua makhluk. Hanya mereka yang bijak mengurus dan mentadbir masa serta
memahami proses peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain akan
berjaya.
sumber dari www.islam.gov.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan