“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu
dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu
jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah
sampai masa mendirikan rumahtangga..
“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu.
Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10”
Ayat-ayat yang biasa didengar.
Tergaman dibuatnya.
Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka
mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang
mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba
menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang
membimbangkan.
Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup
menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya
menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak
pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.
Hikmahnya ditinggalkan.
Apabila acuan material terbentuk di dalam minda
masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk
kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali
lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.
Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak
susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana
terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja
bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.
Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya
di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua
ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan
kukuh.
JANGAN ADATKAN IBADAT
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan
kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak
berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah
akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas
pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)
Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu
mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa
mereka mampu melawan adat.
Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan
arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah
meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.
Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang
didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar
isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki
yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.
Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah
berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami
isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak
mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa
terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri,
dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang
perempuan dari ibu dan bapanya.
Mahar bukan harga
jualan.
Jangan adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh
untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada ternampak warga ‘terlajak’ umur antara
lingkungan 40-45 tahun yang menolak stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya
kerana menunggu lama simpanan penuh sebelum dapat kahwin.
TERBITNYA MASALAH LAIN
Sebenarnya masalah couple atau maksiat hati,
mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah ini terbit dari masalah yang
lain.
Apabila budaya kita yang mempersulitkan
bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin yang
mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki
sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple
dahulu.
Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan
juga merupakan suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa
perlu bercouple.
Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks
sebelum perkahwinan adalah satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah,
sesuatu yang janggal sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh
belas tahun. Mereka lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum
berkahwin supaya tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin
nanti.
Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun
sekarang tidak jauh bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki
dan perempuan. Tidak mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.
Tugas berat ini terletak di bahu kita sekarang
sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian kita, tempat kerja untuk mengubah
suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah kemuliaan mukmin yang mendamba
sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan
hantaran mahal tidak akan menjadi musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada
kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan