Syeikh Abul Hasan Ali
al-Hasani an-Nadwi merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang ulung. Beliau
dilahirkan pada 6 Muharram 1333H / 23 November 1914M di Takia Kala, Rae
Berily, India . Nama sebenar beliau ialah Ali
bin Abdul Hayy bin Fakhruddin bin Abdul Aliy al-Hasani. Nasabnya sampai kepada
Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. Beliau amat bertuah kerana dilahirkan dan
dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran
Islam. Ayahnya Sayyid Abdul Hayy seorang ulama di India manakala ibunya juga seorang
pendidik dan hafaz al Quran serta syair-syair sejarah Islam dalam bahasa
Urdu.
Dilahirkan dalam keluarga
yang mementingkan ilmu, tidak hairanlah minat membaca beliau terserlah sejak
kecil lagi. Beliau gemar mengumpul kitab dan mempunyai satu sudut bacaan sendiri
yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali (Perpustakaan Abul Hasan
Ali).
Sejak kecil juga Syeikh
Abul Hasan telah didik dengan pelbagai ilmu pengetahuan meliputi bahasa Arab,
nahu, syair, sastera Arab, tafsir, fiqh, hadis dan sebagainya. Ramai dikalangan
gurunya datang dari India dan ada juga di antara mereka
yang datang dari Madinah. Diperingkat awal, beliau hanya belajar di rumah dan di
madrasah Nadwatul Ulama. Setelah itu beliau mengorak langkah keperingkat yang
lebih tinggi di Universiti Lucknow dan di sini, beliau telah berjaya mencapai
kecemerlangan tertinggi dalam bidang Bahasa Arab. Kemudian beliau meneruskan
lagi pengembaraan ilmunya hingga membawa beliau ke Lahore . Di sinilah dia bertemu dengan seorang
sarjana dan pemikir agung dunia Islam iaitu Dr. Muhammad Iqbal. Kekaguman beliau
dengan karya-karya Iqbal mendorong beliau untuk menterjemahkan beberapa syair
Iqbal daripada Bahasa Urdu kepada Bahasa Arab, walaupun usianya pada ketika itu
hanya sekitar 15 tahun sahaja.
Sifat Peribadi
Peribadi Syeikh Abul Hasan sangat sederhana, zuhud,
berlapang dada serta terpancar keikhlasan dakwahnya sehingga membuatkan beliau
senang didampingi, tidak kira peringkat umur dan darjat seseorang manusia
itu.
Beliau adalah seorang yang
berperibadi zuhud dan tidak membezakan antara manusia dalam dakwahnya membuatkan
ulama terkenal Mesir, Dr Yusuf al-Qaradhawi mengkagumi keperibadian
beliau.
Dr Yusuf al-Qaradhawi
berkata: "Saya mengenali keperibadiannya dan juga karya-karyanya. Saya
mendapati pada dirinya hati seorang muslim yang sejati dan pemikiran Islam yang
tulen. Saya mendapati beliau sentiasa hidup dengan Islam dan untuk Islam. Saya
kira bukan saya seorang sahaja yang mencintainya tetapi semua orang yang
mengenalinya pasti mencintainya, bahkan sesiapa yang lebih mengenalinya pasti
akan bertambah kecintaan terhadapnya."
Dakwah dan Pendiriannya
Mencontohi pendekatan
dakwah ulama’-ulama’ terdahulu seperti Imam As Sirhindi r.a dan Maulana Ilyas
r.a, serta beberapa tokoh Islam yang agung, Syeikh Abul Hasan telah membawa
suatu manhaj dakwah dan tarbiyah yang menyeluruh, dengan menggabung jalinkan
beberapa manhaj dan pendekatan, menjadi suatu kombinasi di antara sistem lama
yang berkat dengan sistem baru yang bermanfaat. Menurut beliau, kefahaman yang
jitu terhadap dasar-dasar dakwah akan menjadikan seorang daie’ benar-benar
berdakwah untuk Allah bukan untuk kepentingan peribadi atau selainnya. Prinsip
yang perlu ada ialah berdakwah untuk kebaikan umat seluruhnya bukan untuk
keuntungan kelompok atau diri sendiri. Dasar-dasar yang digariskan beliau dalam
melaksanakan dakwah itu merupakan himpunan daripada dasar "At Tasallub Fi Al
Usul" iaitu tegas pada prinsip dan "Al Murunah Fi Al Wasail" yakni
anjal dalam perlaksanaan.
Usaha gigih Syeikh Abul
Hasan dalam menyampaikan kalimah haq bukan sahaja dikagumi oleh dunia
Islam malah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat Barat khususnya di
Eropah. Banyak undangan ceramah dan seminar yang beliau terima daripada
institusi-institusi terkemuka di Eropah seperti di Geneva , Paris , Cambridge , Oxford , Glasgow , Edinburgh dan Sepanyol. Rata-rata dikalangan
pendakwah dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, baik di Timur mahupun
di Barat mengenali tokoh ini. Malah adakalanya walaupun tidak berkesempatan
mengenali peribadi beliau secara langsung tetapi apabila kita membaca
hasil-hasil karyanya kita akan merasakan seolah-olah beliau adalah guru kita
yang duduk bersama-sama kita.
An-Nadwi juga begitu peka
dengan sistem pendidikan dan banyak mengkritik golongan orientalis yang
menyelewengkan fakta sebenar mengenai Islam. Dari segi faktor keagamaan, tujuan
orientalis adalah menyebarkan agama Kristian dan menonjolkannya lebih daripada
agama Islam. Di samping itu, mereka cuba membangkitkan rasa
bangga terhadap mereka ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Dari segi politik,
golongan orientalis adalah utusan barat ke negara-negara Islam dengan tujuan
membuat penyelidikan yang berhubung dengan adat, bahasa, tabiat dan jiwa
orang-orang timur. Melalui cara ini, barat dapat meluaskan kekuasaan dan
pengaruhnya
ke atas umat Islam. Walaupun begitu, ada juga golongan orientalis yang membuat
penyelidikan semata-mata kerana rasa minat mereka terhadap ilmu. Menurut
al-Nadwi, antara orientalis yang menghasilkan penyelidikan yang baik yang wajar
diberi penghargaan ialah Prof. T.W. Arnold, pengarang buku Preaching of Islam,
Stanley Lane pengarang buku Saladin (Salahuddin al-Ayubi) dan Moors in Spains,
Dr. Aloys Spenger Edward William Lane, A.W.J- Wensinck, yang telah menyusun
Mu‘ajam Hadith. Semua pengarang-pengarang ini menunjukkan keikhlasan mereka
dalam membahaskan sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan
agama.
An-Nadwi telah memberi
kritikan pedas terhadap golongan orientalis yang seharusnya direnung oleh
pelajar-pelajar muslim yang lain. Beliau menyebut bahawa dengan mengakui
sumbangan ilmu orientalis ini, tiada halangan baginya untuk menegaskan bahawa
kaum orientalis ini sering tidak beroleh taufik dari Ilahi walaupun mereka
banyak melakukan penyelidikan dan penggalian terhadap ilmu-ilmu al-Qur’an,
sunnah, sirah nabi, feqah Islam, akhlak dan tasauf. Mereka hanya keluar dengan
tangan hampa tanpa memperolehi apa-apa dari keimanan dan keyakinan. Sebaliknya
didapati bertambah besar jurang yang memisahkan mereka dengan ilmu tersebut
disebabkan oleh iktikad permusuhan yang terpendam dalam hati mereka. Tujuan
mereka hanya ingin mencari kelemahan tentang Islam dan mengemukakannya untuk
maksud politik mahupun keagamaan.
Menurut an-Nadwi, umat Islam sekarang
menghadapi kejumudan pemikiran atau mendapnya kecerdasan akal yang menimpa
sarjana Islam atau pusat-pusat pengajian Islam semenjak waktu yang lama. Begitu
juga, jarang ditemui ulama yang dapat meyakinkan generasi muda mengenai
keunggulan Islam dan keabdian ajaran agama untuk mereka melayari kehidupan serta
menyingkap takbir kelemahan-kelemahan peradaban barat dan sorotan yang ilmiah
dan analisa yang teliti.
Beliau turut menggariskan
beberapa faktor yang menyebabkan fahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang
Islam. Antaranya ialah pertamanya kelemahan orang Islam dari sudut keimanan,
ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap
agama mereka telah lenyap sama sekali. Keduanya para ulama tidak memainkan
peranan yang sebenar dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain
terutama anak-anak muda Islam. Ketiganya penjajahan yang berlaku ke atas
negara-negara umat Islam. Orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang
dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan.
An-Nadwi berpendapat bahawa
jalan yang paling selamat dalam mendidik umat Islam ialah kembali beriman kepada
Alllah sebagaimana Rasulullah dahulu telah melaksanakannya dengan begitu
berkesan. Kemungkaran dan kerosakan adalah berpunca dari keengganan manusia
untuk kembali kepada penawar dan rawatan nubuwwah. Hanya dengan kembali kepada
bentuk didikan di atas sahajalah manusia masa kini dapat diselamatkan
sebagaimana manusia pada zaman dahulu diselamatkan oleh Rasulullah. Oleh itu,
beliau menyarankan umat Islam kembali kepada acuan madrasah
kerasulan.
An-Nadwi menggunakan manhaj
dakwah dengan berteraskan kepada al-Quran kemudian hadith dan sirah serta
kisah-kisah para sahabat. Ini jelas terbukti dalam bukunya Rawa’i min adab
al-da’wah yang mana beliau mengambil contoh-contoh dakwah para nabi-nabi yang
bersumberan al-Quran dan al-Hadith.Di samping itu, beliau mengakui manhaj itu
mungkin berbeza dari satu tempat dari satu tempat yang lain kerama dakwah
mesilah mengambil kira masalah lingkungan , sausana dan persekitaran. Oleh itu,
dakwah yang berkesan ialah dakwah yang mengambilkira realiti yang ada. Di
samping itu, pendekatan hikmah dan bijaksana perlu diberi perhatian.al-Nadwi
juga menyarankan memahami al-Quran dengan mendalam, sejarah dakwah dan
tokoh-tokoh dakwah serta adab-adab Islam. Kebanyakan bidang tersebut telah
ditulisnya untuk penyediaan kepada para pendakwah.
Karya Yang Membuka Mata Dunia
Siapa yang tidak terkesan
bila mana membaca karya agung beliau berjudul "Apakah Kerugian Dunia Akibat
Kemunduran Umat Islam" yang pernah pada suatu ketika menggoncang hati para
pemimpin dan ulama’ di dunia Arab. Hingga sekarang karya yang berusia lebih 50
tahun itu, tetap menjadi rujukan umat seluruh dunia malah telah diterbitkan
dalam berbagai-bagai bahasa seperti Inggeris, Parsi, Urdu, Arab, Hindi, Melayu
dan lain-lain. Beliau telah berjaya membuka pandangan sempit pemimpin dunia
Islam yang menganggap bahawa kekayaan material yang dimiliki oleh masyarakat
Eropah adalah segala-galanya sedangkan mereka disana telah bankrap dari segi pemikiran dan
kerohanian. Dengan pandangannya yang tajam, Syeikh Abul Hasan an-Nadwi berjaya
membawa suatu natijah yang berguna untuk mengeluarkan umat manusia daripada
kongkongan hidup jahiliyah moden kepada naungan Islam yang sebenar. Sebagaimana
yang beliau nukilkan bahawa hanya umat Islam sahaja yang layak untuk mentadbir
dan mengatur dunia ini, tanpa Islam dunia akan menghadapi penderitaan dan
kerugian walaupun manusia memiliki segala kecanggihan dan kemudahan
hidup.
Dijemput Ilahi
Setelah hampir tiga suku usianya dihabiskan dengan
perjalanan ilmu dan dakwah, menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada
al-Quran dan sunnah, maka pada tengah hari Jumaat, 23 Ramadhan 1420H / 31
Disember 1999M, beliau telah dijemput Allah SWT pulang ke sisiNya ketika sedang
bersiap-siap untuk menghadiri solat Jumaat di kediamannya, ketika usianya
mencecah 85 tahun. Sebagai mengenang jasa beliau yang telah dicurahkan untuk
kepentingan agama, maka telah diadakan solat jenazah ghaib di dua tanah suci
iaitu di Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah dan di Masjid Nabawi di Madinah
al Munawwarah pada malam 27 Ramadhan 1420H.
Pemergiannya dirasakan
sebagai suatu kehilangan permata yang amat berharga. Perjuangan dakwahnya yang
tidak mengenal noktah itu, seharusnya menjadi contoh dan ikutan oleh generasi
kini. Beliau pernah berpesan kepada generasi muda bahawa belia-belia Islam yang
bakal memimpin umat pada masa akan datang sangat perlu diisikan dengan ilmu,
tazkiyah ruhiyah, semangat juang dan sifat zuhud dari dunia. Kalau tidak, akan
dibimbangi mereka akan kecundang dalam menghadapi cabaran akhir zaman. Kepetahan
lidah dalam berucap dan keluasan ilmu belum dapat memberi kesan yang terbaik
kalau tidak disertai dengan kekuatan rohani yang
mantap.
Selamat jalan wahai
mujahid. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang luas ke atasmu dan semoga engkau
bersama-sama dengan para anbiya’, auliya’ dan para kekasih Allah.
Amin.
M.A.Uswah,
20 Oktober 2008.
- Majalah Al-Islam, bulan Januari 2005.
- http://imamdesa.blogsome.com/2006/06/14/11
- http://www.mindamadani.my/content/view/178/2
Tiada ulasan:
Catat Ulasan